Wednesday, 24 April 2013

PRU13: Abim mahu 6 Mei diumum cuti am



PRU13
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini meminta kerajaaan mengisytiharkan 6 Mei sebagai hari kelepasan am memandangkan ramai pengundi akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 5 Mei.

Pengundian kali ini jatuh pada hari Ahad.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, Abim menilai pelbagai pertimbangan seharusnya diambil kira untuk membenarkan rakyat menentukan masa depan negara ini tanpa sebarang kekangan dan halangan.

"Pertimbangan ini termasuk untuk memudahkan para pengundi yang duduk di luar lokaliti mereka untuk menunaikan hak mereka," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambahan pula, menurut beliau, pilihan raya ini menarik perhatian yang luar biasa dari pelbagai pihak serta perlu diraikan menerusi lunas-lunas demokrasi yang telah ditetapkan.

"Jika hari kelepasan am ini diberi, ia akan membantu mengelakkan sebarang kesulitan logistik seperti kesesakan jalan raya, ketiadaan tiket penerbangan serta kereta api.

"Jika perkara ini berlaku, dikhuatiri ia akan merencatkan jumlah kehadiran pengundi semasa pilihan raya diadakan. Adalah sesuatu yang mendukacitakan sekiranya mandat bakal diperoleh tidak menggambarkan refleksi suara rakyat sehingga ke akar umbi," kata beliau.

Amidi berkata, gesaan ini selari dengan semangat meraikan demokrasi yang dinyatakan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang berbunyi "majikan hendaklah membenarkan tempoh yang berpatutan bagi pekerja-pekerja mengundi."

Berdasarkan kepada kenyataan itu, katanya, adalah menjadi harapan agar pihak kerajaan dapat  mengumumkan segera pemberian cuti khas sempena PRU13 untuk memudahkan rakyat serta pihak-pihak berkenaan membuat perancangan seperti perancangan perjalanan dan pengurusan organisasi.

"Semoga gesaan ini mendapat perhatian daripada pihak yang sewajarnya ke arah memartabatkan karamah insaniah menerusi lunas-lunas demokrasi yang memenuhi citra penyataan kesaksian suara rakyat," katanya lagi.

Pengundian normal diadakan pada 5 Mei manakala pengundian awal pula 30 April.
Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment