Saturday, 27 April 2013

Sihir pemisah


Dari Jabir r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengirim pasukannya. Serendah-rendah mereka adalah yang paling besar dalam melakukan godaan atau gangguan. Seorang dari mereka berkata, "Aku telah melakukan perkara ini dan itu", maka berkata Iblis, "Kamu tidak melakukan apa-apa", Kemudian seorang lagi datang dan berkata, "Aku tidak meninggalkannya (manusia) sehingga aku pisahkan antara suami dan isterinya", Iblis berkata, "Ya, kamulah (yang betul hebat)". (Riwayat Muslim)
Hadis ini menjelaskan, iblis dan bala tenteranya menjadikan pasangan suami isteri sasaran utama misi mereka untuk memecah belah anak cucu Adam.

Menjadi kebanggaan mereka sekiranya terjadi pergaduhan dan penceraian antara pasangan yang berumah tangga.

Merujuk statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009 sebanyak 27,116 kes perceraian dicatatkan daripada 135,136 perkahwinan didaftarkan pada tahun yang sama.

Meskipun ia bukan jumlah dominan jika dibanding dengan kadar perkahwinan, namun ia wajar digusarkan.

Sekadar mengintai statistik kadar penceraian mengikut negeri pada tahun 2008, Selangor mendahului dengan rekod kes sebanyak 3,558, diikuti Kedah 2,407, Johor 2,329, Kelantan 2,266 dan Perak 1,951.

Itu baru catatan lima buah negeri. Ia bagi kes yang didaftarkan secara rasmi, bagaimana pula jumlah kes yang tidak dicatat dan mungkin terlepas pandang.

Banyak perkara menjadi pencetus penceraian. Antara alasan wajib yang sering diberikan ialah tidak wujud persefahaman, kurang interaksi, masalah dalaman yang menemui jalan buntu, masalah kewangan dan orang ketiga dan tidak terkecuali unsur sihir penyebab terjadinya penceraian.

Apa itu sihir pemisah?Sihir pemisah merupakan sihir yang seringkali dilakukan untuk memisahkan pasangan suami isteri atas sebab tertentu selalunya berkaitan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya.

Sihir ini juga dikenali sebagai sihir 'at-Tafriq' dan mempunyai kaitan dan persamaan dengan sihir pembenci. Ia lebih fokus kepada pasangan suami isteri agar hubungan bermasalah dan penceraian.

Ibnu Kathir menjelaskan setiap pasangan suami isteri yang terkena sihir ini akan mengakibatkan pandangan suami atau isteri terhadap pasangannya disihirkan sehingga kelihatan hodoh atau buruk sama ada dari rupa paras atau perilaku.

Antara medium yang digunakan untuk menjayakan sihir adalah menggunakan barang berkaitan dengan mangsa seperti gambar atau pakaian, air atau minyak dijampi dan dicalitkan kepada mangsa atau diletakkan di laluan lokasi mangsa atau dimasukkan ke dalam makanan mangsa tanpa disedari.

Sebenarnya apa yang digunakan hanya hiasan luar oleh pengamal sihir untuk mengaburi mata pelanggan. Pengamal sihir sebenarnya menggunakan jin simpanan atau belaan sebagai pengantara ilmu sihir mereka.

Apabila pengamal sihir menghantar sihir kepada seseorang, mereka sebenarnya menghantar jin yang telah membuat ikatan taat setia kepada mereka. Jin yang dihantar memasuki tubuh mangsa dan melakukan kerosakan dalam badan manusia.

Jin tersebut mempengaruhi pemikiran, emosi dan nafsu manusia bagi melakukan perkara yang dikehendaki pengamal sihir.

Antara simptom yang sering diberitahu pesakit yang terkena sihir pemisah atau pembenci ini adalah seperti berikut:

1 Timbul rasa benci amat sangat tanpa sebab jelas pada salah seorang daripada pasangan atau kedua-duanya sekali.

2 Berlaku perselisihan faham, pertengkaran antara pasangan tanpa sebab atau sebab kecil dan tidak munasabah, juga di kalangan anak yang menyebabkan suasana keluarga sentiasa tegang dan kucar-kacir.

3 Timbul rasa was-was syaitan dalam hati menyebabkan isteri takut mendekati suami. Seolah-olah suami hendak menganiayai isteri atau sebaliknya.

4 Timbul rasa cemburu melampau hingga menyebabkan isteri berang kerana syak suami menduakannya, padahal suami tidak berbuat demikian. Ini menyebabkan isteri melarikan diri, enggan duduk berhampiran suami atau tidur sebilik.

5 Rasa resah gelisah, sakit kepala dan buntu selagi pasangan berada di samping, dan merasa lega sebaik saja pasangan keluar dari rumah atau berada jauh dari pasangan.

6 Berlaku perubahan rupa pada pandangan mata. Isteri mungkin melihat suami dengan rupa menakutkan atau sentiasa marah dan bengis atau suami melihat isteri kelihatan hodoh. Apa yang dilakukan serba tak kena.

7 Timbul desakan dalam jiwa suami untuk
menceraikan isteri tanpa sebab. Dalam hati timbul bisikan yang dia telah melafazkan cerai, padahal suami tidak berhasrat.

Kadang-kala lafaz cerai benar-benar keluar dari lidah seolah ada kekuatan dari dalam diri melepaskan tanpa dapat dikawal. Isteri kadang-kala meminta cerai bertalu-talu sambil mencabar suami dalam keadaan tidak terkawal dan membawa kepada pergaduhan.

Rawatan sihir pemisahPusat Rawatan Islam Al Hidayah tidak menggunakan khidmat makhluk halus (sama ada jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dan tidak menggunakan sebarang perantaraan.

Ia berdasarkan tiga amalan utama iaitu:
1 Amalan bacaan al-Quran,
2 Berdoa memohon kepada Allah SWT
3 Perbanyakkan zikir (Laila hail'lallah)

Selain tiga amalan ini, perubatan ini menggunakan air mineral. Untuk rawatan sihir pemisah, perawat sedaya upaya berusaha menangkis sihir yang dikenakan kepada mangsa dengan izin Allah SWT Antara prosedur rawatan:-

1 Jin dan/atau sihir didalam tubuh badan hendaklah dikeluarkan melalui kaedah yang dipraktikkan perawat Al-Hidayah (dengan izin Allah) dan pesakit hendaklah datang berjumpa perawat untuk rawatan.

2 Membaca ayat al-Quran khusus serta mohon doa kepada Allah untuk sembuh.

Senarai ayat penawar sihir pemisah.

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit sihir pemisah diberi ayat berikut untuk diamal, disertai doa kepada 

Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

1 Surah Al-Baqarah ayat 165 hingga 186,
baca tiga kali selepas solat Maghrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah.

2 Surah Al A'raaf ayat 146 hingga 159, baca
tiga kali selepas solat Subuh atau siang hari dan mohon doa kepada Allah.


Penutup

Ancaman sihir yang berlaku bukan metafora atau omong kosong. Ia adalah realiti yang terpaksa dihadapi masyarakat. Selagi ada dendam, dengki dan iri hati, selagi itu iblis serta bala tenteranya berusaha menjerumus manusia kepada perkara yang terkeluar dari landasan syariat Islam.

Tiada jalan lain untuk menangani masalah sihir selain mendekatkan diri kita kepada Allah. Firman-Nya yang bermaksud;

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu)" (At-Taghaabun: Ayat 11)

Dirikanlah solat dan berdoa kepada-Nya agar kita sentiasa dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi menghadapi ujian dan dugaan-Nya. 

Mohonlah kepada-Nya untuk membantu kita terus istiqamah beribadah, diberi kekuatan bermujahadah melawan serta menangkis hasad dengki manusia dan tipu daya iblis laknatullah.

No comments:

Post a Comment