Tuesday 2 April 2013

PARLIMEN DIBUBAR


PRU-13: Najib umum pembubaran Parlimen mulai hari ini





PRU13
Tarikh penting PRU 2004 hingga 2013
PRU13
PRU13
SHAH ALAM - Parlimen dibubar berkuat kuasa hari ini, sekali gus membuka laluan bagi Pilihan Raya Umum ke-13 yang dinanti oleh seluruh negara sejak dua tahun lalu.
Pembubaran diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
"Pembubaran ini membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 sejak negara merdeka," kata beliau dalam pengumuman khas yang dibuat dari Pejabat Perdana Menteri dan disiarkan secara langsung menerusi televisyen jam 11.30 pagi.
Pengumuman ini dibuat ketika Najib genap empat tahun menjadi perdana menteri.
Mandat kerajaan pusat akan berakhir pada 28 April ini. PRU12 diadakan pada 8 Mac 2008.
Ini kali pertama pilihan raya umum diadakan selepas genap lima tahun selepas satu-satu pilihan raya umum.
Dalam ucapannya, Najib yang diiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengadap dan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk membubarkan Parlimen Ke-12 hari ini.
Barisan anggota jemaah menteri juga hadir pada majlis pengumuman khas itu.
Najib turut menasihati semua kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) masing-masing kecuali Negeri Sembilan dan Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.
Dun Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan. Sarawak pula telah mengadakan pilihan raya umum negeri pada April 2011.
Berikutan pengumuman pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian, lapor Bernama.
Selepas pilihan raya umum ke-12, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan, ekoran kematian dan peletakan jawatan, iaitu enam bagi kerusi parlimen dan 10 kerusi Dun, yang menyaksikan masing-masing lapan kerusi dimenangi BN dan pembangkang.
Pilihan raya kecil Parlimen ialah bagi kerusi Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi manakala pilihan
raya kecil Dun ialah di Bukit Selambau, Batang Ai, Manek Urai, Permatang Pasir, Penanti, Bagan Pinang, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau.
Jumlah pilihan raya kecil berkenaan antara yang terbanyak dalam sejarah pilihan raya negara selepas penggal 1995 hingga 1999 menyaksikan 17 pilihan raya kecil diadakan.
Selepas ucapan khas yang mengambil masa kira-kira 15 minit, Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) bersalam dengan anggota jemaah menteri yang mengenakan tali teler warna merah.

Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment