Friday, 26 April 2013

Pengarah Esscom: Pengeluaran kad pengenalan laut Pantai Timur Sabah dihentikan


LAHAD DATU - Pengeluaran Kad Pengenalan Laut (SIC) telah dihentikan bagi pelaut dari Selatan Filipina susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Pantai Timur Sabah pada Februari lepas.
  
Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata pemansuhan itu berkuat kuasa 15 April lepas setelah didapati SIC sering disalah guna untuk kegiatan penyeludupan seperti dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia.
  
"Pemansuhan ini dilihat dapat mengurangkan kemasukan bot-bot dalam aktiviti perdagangan tukar barang atau barter trade di perairan Sabah, sekali gus mengekang kegiatan penyeludupan dan meningkatkan kawalan keselamatan sempadan laut Malaysia.
  
"Sepanjang tahun lepas, sebanyak 102 bot masuk ke Sandakan, yang mana satu bot sahaja mempunyai dokumen perjalanan sah.
  
"Di Filipina, aktiviti barter tidak diiktiraf menyebabkan rakyatnya keluar dan masuk ke negara ini untuk menjalani aktiviti ekonomi itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohammad berkata pemberian SIC kepada pelaut warga Filipina sebelum ini adalah bagi kemudahan untuk mereka menjalankan aktiviti perdagangan di negara ini dalam tempoh tujuh hari dan hanya dibenarkan berada di sekitar kawasan pelabuhan.
  
Sementara itu, beliau berkata pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu, masing-masing telah dibuka di Lahad Datu dan Kudat sejak 2 April lepas dalam usaha menangani masalah kemasukan secara haram warga asing ke Sabah.
  
ICQS itu buat masa ini beroperasi dari kabin sementara dan bagi melengkapi operasi pihak berkuasa di pintu masuk sedia ada di Tawau, Sandakan dan Semporna, katanya.  - Bernama
Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment