Friday, 19 April 2013

Sedekah penambah rezeki jika ikhlas

Islam amat menggalakkan umatnya menabung dan amalan baik ini seharusnya dipupuk sejak dari kecil supaya apabila dewasa, seseorang itu menjadi individu yang berjimat-cermat. Ini bertepatan dengan peribahasa sikit-sikit lama-lama jadi bukit. 

Namun, amalan menabung semakin tenggelam dan dilupakan dalam arus kemodenan. Pada zaman dulu, nenek moyang kita menabung dalam tabung yang diperbuat daripada buluh atau tempurung kelapa.


Berbeza hari ini, tabung boleh didapati di pasar raya dalam pelbagai bentuk dan saiz. Malah, menabung bukan dengan menyimpan wang dalam tabung semata-mata bahkan boleh menabung di bank serta dalam bentuk amanah saham. 



Elak pembaziran 

Hidup ini ada pasangan surutnya dan sebagai manusia ada kala kita terleka. Oleh itu, apabila berduit, ada yang berbelanja tanpa memikirkan apakah benda yang dibeli itu satu keperluan atau tidak. Maka, berlakulah pembaziran. 

Wang simpanan bukan saja persediaan berdepan kesulitan, tetapi wang yang terkumpul itu boleh dimanfaatkan untuk banyak perkara. Jika ada lebihan, boleh didermakan bagi membantu mereka yang memerlukan. 

Selain dapat membantu saudara yang kesusahan, amal kebajikan itu juga menyucikan harta. Sedekah tidak akan mengurangkan harta sebaliknya Allah akan menambah rezeki jika kita ikhlas memberi. 
Nikmat bersedekah 

Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah harta menjadi berkurang kerana sedekah, dan tidaklah seseorang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kehormatan kepada dirinya; dan seseorang tiada bersikap merendah diri kerana Allah , melainkan ia akan diangkat darjatnya oleh Allah.” (Riwayat Muslim dan Tirmidzi) 

Galakan menabung telah wujud ketika zaman Nabi Yusuf. Al-Quran menyebut dalam surah Yusuf, ayat 43-49 yang memberi banyak pengajaran berguna kepada kita. Ayat itu mengingatkan ada kala ujian tidak dapat diduga, maka hendaklah sentiasa bersiap sedia. 

Justeru, sebagai persediaan kita hendaklah menabung supaya apabila tiba saat genting sekurang-kurangnya kita mempunyai sumber untuk membantu meringankan kesudahan dihadapi itu. 

Rasulullah SAW bersabda: “Rasulullah pernah membeli kurma daripada Bani Nadhir dan menyimpannya untuk bekalan setahun buat keluarga.” (Riwayat Bukhari) 

Sabda Baginda lagi: “Simpanlah sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu kerana itu jauh lebih baik bagimu.” (Riwayat Bukhari) 

Amalan menabung sangat menguntungkan individu yang mengamalkannya dan memberi banyak faedah. Antaranya, wang yang ada membolehkan kita memberi barangan yang diperlukan atau yang diingini. 

Berjimat bukan kedekut 

Kedua, kita dapat menguruskan kewangan tanpa perlu meminta bantuan orang lain. Menabung juga melatih kita berjimat cermat dan tidak suka pembaziran. Bagaimanapun, jangan pula amalan berjimat menjadikan kita kedekut. 

Marilah menabung demi kesejahteraan masa depan dan sebagai bekalan yang akan membolehkan kita hidup selesa. Galakkan anak menabung supaya mereka juga mengerti kepentingan bersiap sedia apabila berdepan kesusahan.


Credit: Nurul Shahida Idayu Harun

No comments:

Post a Comment