Google+ Followers

Wednesday, 17 April 2013

PENYELUDUP BIAYAI PENGGANAS KIRAM



15 kumpulan penyeludup dipercayai biayai pencerobohan

KUALA LUMPUR 16 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kira-kira 15 kumpulan penyeludup di Semporna, Sabah yang dipercayai terlibat membiayai pengganas Kiram dalam insiden pencerobohan di Sabah.

Menurut sumber keselamatan negara, kumpulan-kumpulan penyeludup itu dipercayai telah bergiat aktif sejak lebih 10 tahun lalu dan terdiri daripada mereka yang berbangsa Sulu dari Filipina serta menetap di negara ini dan negara jiran itu.

Katanya, kebanyakan mereka merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Mereka membawa masuk rokok, syabu dan senjata api ke Malaysia sejak sekian lama dan membawa pulang barangan subsidi seperti minyak masak, gula, beras serta tepung ke Filipina.

"Kumpulan-kumpulan ini telah menjadikan Kampung Simunul di Semporna sebagai 'syurga penyeludupan' dan wang hasil penyeludupan mereka itu digunakan untuk membiayai pengganas Kiram," katanya ketika ditemui semalam.

Menurut sumber itu, kumpulan itu menyelinap masuk ke negara ini menggunakan bot dan akan diiringi kumpulan bersenjata api sebaik sahaja kembali memasuki perairan Filipina.

Katanya, barangan hasil kegiatan haram itu pula dijual dengan harga yang jauh lebih rendah di Pulau Basilan berbanding harga barangan sama di Manila.

Kata sumber itu lagi, 32 lelaki bersenjata yang ditangkap ketika cuba memasuki perairan negara di pantai timur Sabah baru-baru ini juga dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penyeludup terbabit.

"Polis juga percaya kebanyakan rumah setinggan atas air yang terdapat di Semporna merupakan sarang kepada kumpulan-kumpulan penyeludup ini," ujarnya.