Monday 29 April 2013

Polis tumpas sindiket 'parcel scam', 14 pelajar Afrika ditahan

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket penipuan Internet atau 'Parcel Scam' dengan tertangkapnya 14 lelaki Afrika dalam serbuan di empat premis di Taman Mutiara Indah, Puchong, Khamis lepas.

Kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 33 tahun itu adalah penuntut kolej swasta di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata tangkapan itu dibuat berikutan Bukit Aman menerima laporan dari polis China Disember lepas mengenai dakwaan tiga wanita rakyat negara itu ditipu oleh kenalan di laman sosial.

Dua wanita masing-masing kerugian AS$1.5 juta manakala seorang lagi AS$70,000, katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas 27 unit telefon bimbit, 12 kad ATM dan tujuh komputer riba.

Syed Ismail berkata 'Parcel Scam' ialah jenayah penipuan pembelian barangan berharga seperti emas dan berlian melalui internet.

"Suspek menggunakan nama samaran di laman sosial dan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tempatan di negara suspek berada, dan selepas mendapat wang, mangsa tidak lagi dapat menghubungi suspek," katanya.

Beliau berkata kesemua 14 lelaki itu kini ditahan reman dan polis kini mengesan semua akaun bank yang terlibat dalam kes itu.

"Saya menasihatkan pengguna internet perlu berwaspada dan jangan mudah percaya dengan individu di internet kerana terdapat akaun laman sosial yang menggunakan identiti palsu.

"Bagi pemilik akaun bank tempatan jangan sesekali memberi butir peribadi dan maklumat kepada kenalan baharu," katanya. 



Credit: Sinar Harian/Bernama

No comments:

Post a Comment