Saturday, 13 April 2013

Sanggup bujang kerana si comel


Kangar: “Saya tak kisah hidup bersendirian kerana lebih bahagia apabila bermanja sambil melihat keletah kucing peliharaan biarpun terpaksa berhabis RM2,000 sebulan.”
Begitu kata pesara kerajaan, Norsiah Ismail, 57, dari Pengkalan Assam, dekat sini, apabila sanggup mengetepikan soal jodoh sehingga menolak beberapa lamaran kerana menyayangi kucing baka tempatan dan Parsi yang dipeliharanya sejak 40 tahun lalu.

Norsiah yang minat memelihara kucing sejak berusia 17 tahun berkata, demi kasih terhadap haiwan itu, dia banyak menghabiskan masa dengan 45 kucing, termasuk yang dipungut di tepi jalan, selain menyediakan rumah khas dilengkapi lantai mozek, kipas dan langsir.
“Hidup saya lebih tenang apabila dapat bersama kucing biarpun memerlukan kos tinggi untuk penjagaan kesihatan dan makanan mereka.

“Lebih baik hidup sendiri daripada berkahwin kerana tidak semua lelaki sukakan kucing,” katanya ketika ditemui pada Karnival Kucing Comel Perlis 2013 di Taman Ular dan Reptilia Sungai Batu Pahat, di sini, semalam.

Karnival dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Pejabat Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia Perlis bagi memberi pendedahan dan kebajikan kucing secara menyeluruh.
Foto
NORZIAH bersama kucingnya di Karnival Kucing Comel Perlis yang diadakan di Taman Ular dan Reptilia Perlis.
Norsiah berkata, dia sanggup memungut kucing terbiar untuk dipelihara, selain membeli daripada individu atau kedai haiwan.

Menurutnya, dia juga akan memastikan setiap kucing peliharaannya dimandikan setiap pagi, selain diberi makanan berkhasiat tiga kali sehari.
“Sebelum membawa empat kucing peliharaan ke karnival ini, saya menghantarnya kepada doktor haiwan untuk persediaan kesihatan termasuk membersihkan bulu, kuku serta penjagaan diri seperti dilakukan manusia,” katanya.

Seorang lagi pemilik kucing, Nabil Tashrin Noor Hisham, 21, berkata, dia sekeluarga pencinta haiwan berkenaan sehingga mewujudkan pusat jualan kucing di rumahnya di Padang Katong, di sini, termasuk kelengkapan penjagaan.

“Saya minat kucing sejak kecil dan kini memelihara hampir 40 ekor di rumah sejak enam tahun lalu. Setiap tahun saya membawa kucing berbeza bagi menyertai pertandingan dan kali ini enam ekor,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga berbelanja RM2,000 setiap bulan bagi menguruskan semua kucing itu di samping menjalankan perniagaan berkaitan haiwan itu.

Sementara itu, Pengurus Besar PKENPs Kasim Zakaria berkata, karnival berkenaan kali kedua diadakan di negeri ini selepas menerima sambutan menggalakkan ketika penganjuran pertama pada hujung 2011.

No comments:

Post a Comment