Friday, 19 April 2013

Anak saudara Jamalul Kiram didakwa


Lahad Datu: Anak saudara kepada Jamalul Kiram III yang mendakwa pewaris kesultanan Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram, dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini semalam, atas dakwaan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas dalam insiden pencerobohan Lahad Datu, awal Februari lalu. 

Datu Amirbahar, 49, dari Jolo, Selatan Filipina, didakwa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, yang diisytiharkan sebagai mahkamah terbuka, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, S S M Rajalingam, yang bertindak sebagai Majistret. 
Pendakwaan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Suluk. 


Tiada pengakuan direkodkan 
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana dua kesalahan itu adalah mengikut bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Datu Amirbahar didakwa melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas dalam kejadian pencerobohan di Kampung Tanduo di sini, antara 9 Februari dan 23 Mac lalu. 

Bagi pertuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, dia didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda. 
Bagi kesalahan menjadi anggota kumpulan pengganas, dia menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 130KA kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda. 

Rajalingam membenarkan permohonan pihak pendakwaan diketuai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Datuk Nordin Hassan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau mengikut peruntukan Seksyen 177A(2) Kanun Acara Jenayah (KAJ). 

Sebutan semula 
Majistret menetapkan 14 Mei ini bagi sebutan kes bersama 19 lagi tertuduh warga Filipina, yang didakwa atas pelbagai kesalahan, termasuk melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, menjadi anggota kumpulan pengganas, melindungi pengganas serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas.

No comments:

Post a Comment