Monday, 29 April 2013

PDRM, ATM MENGUNDI HARI INI.



PRU13: Anggota ATM, PDRM serta pasangan undi awal hari ini.





KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia serta pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di 544 pusat pengundian di seluruh negara, hari ini. 

Mereka terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan serta 111,136 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.


Kesemua pusat mengundi itu yang membabitkan 882 saluran tempat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi ini termasuk di ibu pejabat polis kontinjen dan ibu pejabat polis daerah bagi polis serta kem tentera untuk warga ATM. 

Pagi ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meninjau proses pengundian awal di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini bagi polis serta Kem Wardieburn di Jalan Genting Klang di sini untuk anggota tentera. 

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata untuk undi awal ini pengundi akan dicalit dakwat kekal pada jari telunjuk sebelah tangan kiri. 

Katanya dakwat kekal itu berbeza warnanya berbanding pada hari pengundian Ahad ini dan akan melekat di jari selama tujuh hari. 

Undi awal dilaksanakan buat pertama kali pada PRU13 berikutan pindaan kepada Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 iaitu kategori orang yang boleh mengundi awal. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment