Monday, 1 April 2013

SERANGAN PENGGANAS HANTUI INSPEKTOR HASNAL

'Pertempuran jadi igauan saya'


SHAH ALAM 1 April - Kejadian pertumpahan darah ketika menentang pengganas Kiram di Sabah pada Mac lalu masih lagi menghantui Inspektor Mohd. Hasnal Jamil, 31, yang ditetak enam kali dan terkena tiga das tembakan.

Mohd. Hasnal berkata, walaupun kejadian tersebut hampir sebulan berlalu, pengalaman ngeri setiap detik peristiwa tersebut yang hampir meragut nyawanya itu tetap bermain dalam ingatannya.

"Sehingga hari ini, peristiwa memerangi pengganas masih lagi singgah ketika waktu tidur dan sering terfikir rakan-rakan yang terkorban.

"Namun, saya tetap mahu berjuang bersama anggota pasukan keselamatan lain untuk memerangi pengganas bagi mempertahankan negara," katanya ketika ditemui di Pameran Darah dan Air Mata: Metafora Perjuangan Lahad Datu di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Beliau yang merupakan bekas pelajar UiTM menceritakan detik cemas itu ketika menghadapi serangan pengganas di Semporna pada 2 Mac lalu.

Dalam peristiwa tersebut, Mohd. Hasnal yang cedera parah selepas ditetak di kepala dan tangan selain ditembak di perut dan tangan terpaksa berlindung lebih 21 jam di sebuah rumah air di Semporna.

"Tangan kanan saya terkulai akibat ditetak oleh pengganas Kiram yang sangat kejam. Mereka menetak menggunakan parang tajam dan menyasarkan leher tetapi saya menghalang tindakan pengganas tersebut dengan tangan.

"Saya tidak akan memaafkan mereka semua kerana telah meragut nyawa anggota pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negara. Mereka juga nekad untuk membunuh walaupun kami mengalami kecederaan akibat ditembak," katanya.

No comments:

Post a Comment