Tuesday, 30 April 2013

PENGUNDIAN AWAL BERMULA


Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menunjukan jarinya yang telah dicalit dengan dakwat kekal selepas pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.-Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Anggota polis diseluruh negara mula mengundi awal secara berperingkat dengan menggunakan dakwat kekal buat pertama kali.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menjadi individu pertama membuang undi di sini, sementara anggota polis di seluruh negara akan mengundi di Ibu Pejabat Kontigen (IPK) Polis seluruh negara.
Sewal pukul 8.30 pagi, anggota polis mula beratur untuk mengundi di Dewan Mess Bukit Aman dan Dewan Perkep.
Anggota polis mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan terawal mengundi menggunakan dakwat kekal buat pertama kali dalam PRU-13.
Ismail ketika ditemui selepas membuang undi berkata anggota polis berasa bangga diberi penghormatan untuk menjadi kumpulan pertama mengundi menggunakan dakwat kekal.
"Saya juga perlu mengikut prosedur dalam membuang undi.
"Jika tidak, Ketua Polis Negara tidak akan berada di sini," katanya dalam nada bergurau.
Sementara itu di Lumut, seramai 12, 776 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)mengundi di pusat pengundian di SMK TLDM di pangkalan tentera di sini.
Anggota polis Perak beratur untuk menunggu giliran membuang undi di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak pada Selasa.
Undi mereka akan dikira bagi Parlimen Lumut yang ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Kong Cho Ha dan calon Parti Keadilan Rakyat, Laksamana Pertama (B) Mohd Imran Abdulk Hamid.
Anggota TLDM turut mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor di mana BN diwakili oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, PKR Mohd Saifullah Mohd Zulfilfi dan calon Bebas, P. Bernard dalam saingan tiga penjuru.
Kong, dan Laksaman Pertama Mohd Imran dan Mohd Saifullah turut hadir di pusat pengundian pagi Selasa.

Credit: Farek Zolkepli/Elween Loke.

Monday, 29 April 2013

'STUNT MAN' TERBUNUH



Aksi lagak ngeri makan diri


Roy bergelut melepaskan rambutnya yang tersekat pada roda, sebelum dia meninggal 
dunia ketika melakukan lagak ngeri di Jambatan Coronation, Sungai Teesta di Darjeeling, 
Bengal Barat, kelmarin. - Agensi

MUMBAI 29 April - Seorang lelaki dari India maut, ketika dia cuba memecahkan rekod dunia merentasi sebatang sungai dengan menggunakan rambutnya yang digantung pada tali dalam satu aksi di Bengal Barat, semalam.

Nahas itu menimpa Sailendra Nath Roy, 50, selepas rambutnya yang diikat tersangkut pada roda yang dipasang pada tali, mengakibatkan dia tergantung di udara pada ketinggian 3,000 meter selama hampir 25 minit.

Lelaki itu yang terdesak untuk melepaskan diri, kemudian cuba merentasi sungai berkenaan dengan berpaut pada tali, namun dia dipercayai diserang sakit jantung dan meninggal dunia.



Kejadian tersebut turut disaksikan kira-kira 1,000 penduduk yang berkumpul di sepanjang jambatan yang merentas Sungai Teesta di Darjeeling.

Pasukan penyelamat kemudiannya menurunkan Roy dari Jambatan Coronation kira-kira 45 lima minit kemudian.

Dia yang dikejarkan ke hospital berhampiran, bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejurus tiba.

Roy yang merupakan anggota polis Bengal Barat merupakan pemegang rekod dunia Guiness World Records apabila berjaya menarik kereta api seberat 42 tan sejauh 2.5 meter pada tahun lalu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Siliguri, K. Jairaman berkata, Roy tidak mendapatkan kebenaran bagi melakukan aksi ngeri itu, tetapi mengesahkan mangsa tidak bertugas sewaktu kemalangan itu berlaku. - AGENSI

MAK ANDAM CURI LEMBU


Seorang wanita yang mendakwa bekerja sebagai mak andam ditahan apabila didapati mencuri lembu di Tanjung Tualang, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, suspek bersama tiga rakannya menggunakan ubat pelali membuatkan lembu yang dicuri pengsan sebelum dipunggah ke dalam van.
Kegiatan suspek terbongkar selepas sepasukan anggota dan pegawai polis diketuai Ketua Balai Polis Tanjung Tualang, Sarjan Sharudain Said, menahan suspek bersama tiga lelaki ketika mereka melakukan rondaan cegah jenayah.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kelibat mencurigakan empat suspek yang berada di kawasan perkampungan berhampiran lombong menyebabkan anggota polis mengejar sebelum menahan suspek yang menaiki van.
Credit: Harian Metro

PDRM, ATM MENGUNDI HARI INI.



PRU13: Anggota ATM, PDRM serta pasangan undi awal hari ini.





KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia serta pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di 544 pusat pengundian di seluruh negara, hari ini. 

Mereka terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan serta 111,136 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.


Kesemua pusat mengundi itu yang membabitkan 882 saluran tempat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi ini termasuk di ibu pejabat polis kontinjen dan ibu pejabat polis daerah bagi polis serta kem tentera untuk warga ATM. 

Pagi ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meninjau proses pengundian awal di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini bagi polis serta Kem Wardieburn di Jalan Genting Klang di sini untuk anggota tentera. 

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata untuk undi awal ini pengundi akan dicalit dakwat kekal pada jari telunjuk sebelah tangan kiri. 

Katanya dakwat kekal itu berbeza warnanya berbanding pada hari pengundian Ahad ini dan akan melekat di jari selama tujuh hari. 

Undi awal dilaksanakan buat pertama kali pada PRU13 berikutan pindaan kepada Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 iaitu kategori orang yang boleh mengundi awal. - BERNAMA

Polis tumpas sindiket 'parcel scam', 14 pelajar Afrika ditahan

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket penipuan Internet atau 'Parcel Scam' dengan tertangkapnya 14 lelaki Afrika dalam serbuan di empat premis di Taman Mutiara Indah, Puchong, Khamis lepas.

Kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 33 tahun itu adalah penuntut kolej swasta di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata tangkapan itu dibuat berikutan Bukit Aman menerima laporan dari polis China Disember lepas mengenai dakwaan tiga wanita rakyat negara itu ditipu oleh kenalan di laman sosial.

Dua wanita masing-masing kerugian AS$1.5 juta manakala seorang lagi AS$70,000, katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas 27 unit telefon bimbit, 12 kad ATM dan tujuh komputer riba.

Syed Ismail berkata 'Parcel Scam' ialah jenayah penipuan pembelian barangan berharga seperti emas dan berlian melalui internet.

"Suspek menggunakan nama samaran di laman sosial dan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tempatan di negara suspek berada, dan selepas mendapat wang, mangsa tidak lagi dapat menghubungi suspek," katanya.

Beliau berkata kesemua 14 lelaki itu kini ditahan reman dan polis kini mengesan semua akaun bank yang terlibat dalam kes itu.

"Saya menasihatkan pengguna internet perlu berwaspada dan jangan mudah percaya dengan individu di internet kerana terdapat akaun laman sosial yang menggunakan identiti palsu.

"Bagi pemilik akaun bank tempatan jangan sesekali memberi butir peribadi dan maklumat kepada kenalan baharu," katanya. 



Credit: Sinar Harian/Bernama

Warga emas bergelut dengan harimau



Warga emas tendang harimau
Manap menerima jahitan di dada dan ibu jarinya yang putus di Hospital Kuala Lipis sambil ditemani anaknya.
KUALA LIPIS – Tindakan berani. Seorang warga emas nekad menendang harimau sekuat hati setelah haiwan itu cuba mengheretnya ke hutan sebelum lari menyelamatkan diri.

Kejadian itu menyebabkan Manap Busu, 77 nyaris maut setelah putus ibu jari tangan kanan akibat diserang ketika masuk hutan di Kampung Ganding, dekat sini untuk melihat ternakan kerbau miliknya.

Mangsa yang merupakan pesara polis zaman British berkata, dia mendapat tahu daripada seorang rakannya bahawa ada kerbau miliknya hilang dipercayai dibaham harimau.

Bagi mendapatkan kepastian katanya, dia mengambil keputusan untuk ke hutan sendirian kira-kira jam 3 petang, 27 April lalu.

“Sehari sebelum kejadian (Jumaat), seorang kawan beritahu ada kerbau yang hilang dibaham harimau.

“Esoknya (Sabtu) pakcik ke hutan seorang diri dan tak bawa apa-apa senjata,” katanya.

Manap berkata, tanpa diduga dia diserang seekor harimau yang muncul secara tiba-tiba dari arah hadapan.

“Harimau itu terkam pakcik dari arah depan dan cakar dada serta tangan kiri pakcik. Pakcik cuba tolak harimau tu dan tumbuk beberapa kali tapi hujung ibu jari tangan kanan pakcik digigit hingga putus.

“Pakcik tidak mampu buat apa-apa sebab tak bawa senjata, tapi dengan kudrat yang ada, pakcik bergelut untuk lepaskan diri,” katanya.

Menurutnya, dia mempunyai kekuatan yang luar biasa akibat terlalu panik sehingga bertindak menendang haiwan terbabit.

“Nasib baik harimau itu lari selepas kena tendang, kalau tidak pakcik tak tahulah apa akan jadi.

"Pakcik selepas itu cepat-cepat selamatkan diri dan pecut motosikal pulang ke rumah,” katanya.

Akibat kejadian itu Manap menerima beberapa jahitan di bahagian dada dan ibu jari tangan kanannya yang putus.

Mangsa kini ditempatkan di Hospital Kuala Lipis dan dilaporkan stabil.

Credit: Muhayudin Salleh.

Kanak-kanak mangsa buli siber meninggal dunia


ENGLAND - Hanya kerana sering dibuli melalui laman sosial seorang kanak-kanak nekad menggantung diri di rumahnya di Evesham, Worcestershire, Britain.

Menurut laporan diperik DailyOnline, Katie Webb, 12, bertindak sedemikian selepas sering dikritik oleh rakan siber tentang pakaian dan fesyen rambutnya.

Jurucakap polis West Mercia berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Birmingham dengan pesawat ambulans.

“Kematian beliau sedang disiasat dan kami yakin ianya bukan berpunca daripada perbuatan jenayah,” katanya.

Credit: Sinar Harian

TIKAM MATA BUAYA


Kuching: “Saya tikam mata buaya itu dengan pisau sebelum menyelamatkan diri,” kata mangsa serangan buaya dikenali sebagai Micheal, 43 di Sungai Bako, semalam.
Menurut Micheal, dalam kejadian jam 11 pagi itu, dia yang berasal dari Kampung Jagoi Gunung, Bau pergi ke Sungai Bako berseorangan untuk memancing. 
Katanya, sebaik memasang umpan pada mata kail, dia turun ke tebing sungai untuk membasuh kaki dan secara tiba-tiba kakinya digigit sesuatu sebelum ditarik masuk ke dalam sungai.

“Saya yakin benda yang menggigit saya itu buaya dan ia cuba mengheret saya ke tengah sungai. Saya cuba berpaut pada pokok di tebing sungai dan pada masa sama menyepak kepala reptilia itu beberapa kali.
awFoto
MANGSA dibawa ke HUS untuk mendapatkan rawatan, semalam.

“Ketika bergelut dengan buaya itu, mujur saya teringat pisau disimpan dalam poket seluar dan menggunakannya sebagai senjata menyerang matanya,” katanya ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Credit: Rabi'Atul Adawiyah Ismail

TIDUR ATAS KUBUR PENGGANAS


Anggota PGA tidak boleh lupa pengalaman tidur atas kubur pengganas



PAPAR: Bagi Koperal Mohamad Riduan Kasim, pengalaman tidur di atas kubur militan Sulu adalah antara yang tidak mungkin dilupakannya ketika menyertai Operasi Daulat di Lahad Datu.
Anggota Batalion 16, Pasukan Gerakan Am yang berpangkalan di Kem Kinarut di sini itu berkata, suasana gelap menyebabkan mereka tidak dapat melihat dengan jelas keadaan sekitar dan hanya mengetahui kewujudan kubur pada pagi esoknya. 
"Saya ada terhidu bau busuk, bagaimanapun kami semua ingat ada binatang yang mati selain kami terlalu penat sehingga tidak mempedulikan bau itu," katanya kepada Bernama selepas majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di dewan masyarakat di sini, hari ini. 

Mohamad Riduan, 32, merupakan antara 13 anggota pasukan keselamatan yang menerima anugerah itu daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong.

Katanya beliau juga amat terkejut apabila mendengar berita kematian ASP Zulkifli Mamat kerana pada malam sebelumnya beliau sempat bertugas bersama Allahyarham. 

Credit: Bernama

Sunday, 28 April 2013

MARI ZAHIRKAN KASIH SAYANG

Umat hidup berkasih sayang, jangan rosakkan Islam
Sememangnya menjadi kewajipan bagi mereka yang mengaku Muslim untuk berakhlak mulia. Mereka bergaul dengan masyarakat penuh lemah-lembut dan bertolak ansur, pintar dan berintegriti. Kedudukan mereka di kalangan masyarakat seperti bunga yang berkembang mekar, berbau harum dan halus.


Mereka bersikap penyayang dan merendah diri. Ini kerana mengucapkan perkataan yang baik adalah hasil daripada akhlak yang terpuji. Manakala pengucapan perkataan yang buruk adalah hasil daripada akhlak yang keji. 


Justeru, akhlak yang baik menuntut jiwa yang pengasih dan bersikap lemah lembut. Akhlak yang jahat pula menuntut sikap benci-membenci serta saling membelakangi antara satu sama lain. Akhlak yang baik adalah sesuatu yang tidak dapat disembunyikan kelebihannya dalam Islam. 

Adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu Muslim menzahirkannya. Dan perbuatan seperti ini adalah sesuatu yang dipuji oleh Allah SWT sebagai mana pujian-Nya terhadap Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang terpuji.” (Al-Qalaam: 4)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kebanyakan perkara yang memasukkan manusia ke dalam syurga ialah ketakwaan kepada Allah dan mempunyai akhlak yang baik.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Sayidina Usamah bin Zaid mengatakan: “Katakanlah kepada kami wahai Rasulullah, apakah pemberian paling baik yang diberikan Allah kepada manusia? Lalu Baginda SAW bersabda: “Akhlak yang baik.” (Riwayat Ibn Majah) 
Baginda SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat al-Bukhari)

Di dalam hadis yang lain Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Sesuatu yang paling berat ditimbang oleh Allah ialah akhlak yang baik.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah SAW adalah seorang yang merendah diri dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja. Baginda SAW selalu memohon kepada Allah SWT supaya menghiaskan diri Baginda dengan adab-adab yang baik dan akhlak yang terpuji. Baginda selalu berdoa: “Ya Allah, perelokkanlah rupa paras dan akhlakku.” - (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, Ibn Hibban)

Dalam hadis yang lain, Baginda SAW juga berdoa: “Ya Allah jauhkanlah dariku akhlak yang keji.” (Riwayat at-Tirmidzi, Ibn Hibban)

Lalu Allah SWT memperkenankan permintaan Baginda SAW dengan firman-Nya: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta lurus.” (Al-Baqarah: 186)

Berdasarkan ayat di atas, kita dapati bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran kepada Baginda SAW dan al-Quran jugalah yang membentuk keperibadian Baginda SAW. Lalu akhlak Baginda SAW menjadi indah seperti al-Quran.

Sa’id bin Hisyam RA menyatakan: “Saya telah masuk menghadap Sayidatina Aisyah dan bertanyakannya tentang akhlak Rasulullah SAW. Lalu beliau mengatakan: Adakah kamu membaca al-Quran? Saya menjawab: Sudah tentu. Lalu beliau menyambung lagi: Akhlak Rasulullah SAW adalah seperti al-Quran.” (Hadis sahih)

Sebagai penentangan terhadap akhlak yang baik, Allah SWT telah mendatangkan larangan daripada melakukan perbuatan yang keji. Hal ini terbukti dengan hadis-hadis yang banyak. Sebahagian daripadanya ialah sabda Nabi SAW kepada isterinya Syaidatina Aisyah: “Hendaklah kamu bersikap lemah lembut dan jangan sesekali bersikap kasar dan mengucapkan perkataan yang keji.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SAW tidak menyukai perkataan yang buruk dan orang yang bodoh sombong serta orang yang melaungkan perkataan yang keras di pasar-pasar. Mereka itu alim dalam urusan dunia tetapi jahil dalam urusan akhirat.” (Riwayat al-Baihaqi, Ibn Hibban)

Sayidina Anas bin Malik RA mengatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah mencela dan tidak pernah melafazkan kata-kata yang buruk.” (Riwayat al-Bukhari)

Kesimpulannya, umat Islam wajib mempunyai budi pekerti yang mulia sebagai mana yang ditunjukkan Nabi SAW. Kita perlu bersikap penyayang dan belas kasihan terhadap saudara seagama dan bersikap tegas tetapi berhemah dengan bukan Islam serta berusaha untuk menarik minat mereka kepada Islam. Ingatlah bahawa setiap umat Islam adalah duta kepada agama Islam itu sendiri. Jangan sesekali merosakkan reputasi agama dengan kelakuan kita.


Credit: Ust Zamihan Mat Zin Al-Ghari

Pembunuhan ala mafia bawa mesej besar


Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
ALOR SETAR - Pembunuhan nekad ala mafia di lokasi pusat pentadbiran negara Putrajaya membawa mesej yang besar mengenai tahap keselamatan serta jenayah di negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid, insiden yang membabitkan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, mati ditembak sangat mengejut serta menyedihkan.

Menurutnya, walaupun negara ini sering disebut sebagai negara selamat namun tidak hanya boleh diyakini dengan retorik semata-mata.

“Ini bukan pertama kali pembunuhan seperti itu dilakukan. Jika statistik dikatakan menurun namun tidak dapat dinafikan jenayah berat seperti membunuh tetap tidak menurun.

“Cara membunuh nekad di hari dan waktu kerja dengan suspek hanya membonceng motosikal bermakna sudah wujud ala mafia bertapak di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sambil mengutuk keras pembunuhan itu, beliau berharap individu terbabit dibawa ke pengadilan.

“Penyiasatan terperinci tidak boleh dilengahkan lagi, walaupun setakat ini belum ada bukti motif pembunuhan ditemui. Namun jika tidak diambil tindakan segera kami bimbang soal keselamatan di negara ini.

"Tahap keselamatan sosial negara juga perlu dinilai semula,” katanya.

Credit: Nurul Fatihah Sulaini

Saturday, 27 April 2013

SOP KESELAMATAN KASTAM


SOP keselamatan pegawai Kastam dikaji


KUALA LUMPUR 26 April - Standard Prosedur Operasi (SOP) membabitkan soal keselamatan pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan dikaji semula bagi memantapkan langkah keselamatan sedia ada.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, langkah itu bertujuan mengelak kejadian buruk menimpa pegawai Kastam berulang.

"Sebelum ini kita ada SOP sendiri membabitkan keselamatan pegawai kanan Kastam namun perlu dirangka semula untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim yang juga Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 8.15 pagi, Allahyarham mati ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya iaitu ketika kenderaan dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan.

Dalam pada itu, Khazali turut melahirkan perasaan sedih dengan pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang tegas tetapi mesra.

Katanya, pemergian Allahyarham namun sedikit pun tidak melunturkan semangat pegawai dan anggotanya untuk terus berkhidmat sebagai penguat kuasa bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.


Sihir pemisah


Dari Jabir r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengirim pasukannya. Serendah-rendah mereka adalah yang paling besar dalam melakukan godaan atau gangguan. Seorang dari mereka berkata, "Aku telah melakukan perkara ini dan itu", maka berkata Iblis, "Kamu tidak melakukan apa-apa", Kemudian seorang lagi datang dan berkata, "Aku tidak meninggalkannya (manusia) sehingga aku pisahkan antara suami dan isterinya", Iblis berkata, "Ya, kamulah (yang betul hebat)". (Riwayat Muslim)
Hadis ini menjelaskan, iblis dan bala tenteranya menjadikan pasangan suami isteri sasaran utama misi mereka untuk memecah belah anak cucu Adam.

Menjadi kebanggaan mereka sekiranya terjadi pergaduhan dan penceraian antara pasangan yang berumah tangga.

Merujuk statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009 sebanyak 27,116 kes perceraian dicatatkan daripada 135,136 perkahwinan didaftarkan pada tahun yang sama.

Meskipun ia bukan jumlah dominan jika dibanding dengan kadar perkahwinan, namun ia wajar digusarkan.

Sekadar mengintai statistik kadar penceraian mengikut negeri pada tahun 2008, Selangor mendahului dengan rekod kes sebanyak 3,558, diikuti Kedah 2,407, Johor 2,329, Kelantan 2,266 dan Perak 1,951.

Itu baru catatan lima buah negeri. Ia bagi kes yang didaftarkan secara rasmi, bagaimana pula jumlah kes yang tidak dicatat dan mungkin terlepas pandang.

Banyak perkara menjadi pencetus penceraian. Antara alasan wajib yang sering diberikan ialah tidak wujud persefahaman, kurang interaksi, masalah dalaman yang menemui jalan buntu, masalah kewangan dan orang ketiga dan tidak terkecuali unsur sihir penyebab terjadinya penceraian.

Apa itu sihir pemisah?Sihir pemisah merupakan sihir yang seringkali dilakukan untuk memisahkan pasangan suami isteri atas sebab tertentu selalunya berkaitan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya.

Sihir ini juga dikenali sebagai sihir 'at-Tafriq' dan mempunyai kaitan dan persamaan dengan sihir pembenci. Ia lebih fokus kepada pasangan suami isteri agar hubungan bermasalah dan penceraian.

Ibnu Kathir menjelaskan setiap pasangan suami isteri yang terkena sihir ini akan mengakibatkan pandangan suami atau isteri terhadap pasangannya disihirkan sehingga kelihatan hodoh atau buruk sama ada dari rupa paras atau perilaku.

Antara medium yang digunakan untuk menjayakan sihir adalah menggunakan barang berkaitan dengan mangsa seperti gambar atau pakaian, air atau minyak dijampi dan dicalitkan kepada mangsa atau diletakkan di laluan lokasi mangsa atau dimasukkan ke dalam makanan mangsa tanpa disedari.

Sebenarnya apa yang digunakan hanya hiasan luar oleh pengamal sihir untuk mengaburi mata pelanggan. Pengamal sihir sebenarnya menggunakan jin simpanan atau belaan sebagai pengantara ilmu sihir mereka.

Apabila pengamal sihir menghantar sihir kepada seseorang, mereka sebenarnya menghantar jin yang telah membuat ikatan taat setia kepada mereka. Jin yang dihantar memasuki tubuh mangsa dan melakukan kerosakan dalam badan manusia.

Jin tersebut mempengaruhi pemikiran, emosi dan nafsu manusia bagi melakukan perkara yang dikehendaki pengamal sihir.

Antara simptom yang sering diberitahu pesakit yang terkena sihir pemisah atau pembenci ini adalah seperti berikut:

1 Timbul rasa benci amat sangat tanpa sebab jelas pada salah seorang daripada pasangan atau kedua-duanya sekali.

2 Berlaku perselisihan faham, pertengkaran antara pasangan tanpa sebab atau sebab kecil dan tidak munasabah, juga di kalangan anak yang menyebabkan suasana keluarga sentiasa tegang dan kucar-kacir.

3 Timbul rasa was-was syaitan dalam hati menyebabkan isteri takut mendekati suami. Seolah-olah suami hendak menganiayai isteri atau sebaliknya.

4 Timbul rasa cemburu melampau hingga menyebabkan isteri berang kerana syak suami menduakannya, padahal suami tidak berbuat demikian. Ini menyebabkan isteri melarikan diri, enggan duduk berhampiran suami atau tidur sebilik.

5 Rasa resah gelisah, sakit kepala dan buntu selagi pasangan berada di samping, dan merasa lega sebaik saja pasangan keluar dari rumah atau berada jauh dari pasangan.

6 Berlaku perubahan rupa pada pandangan mata. Isteri mungkin melihat suami dengan rupa menakutkan atau sentiasa marah dan bengis atau suami melihat isteri kelihatan hodoh. Apa yang dilakukan serba tak kena.

7 Timbul desakan dalam jiwa suami untuk
menceraikan isteri tanpa sebab. Dalam hati timbul bisikan yang dia telah melafazkan cerai, padahal suami tidak berhasrat.

Kadang-kala lafaz cerai benar-benar keluar dari lidah seolah ada kekuatan dari dalam diri melepaskan tanpa dapat dikawal. Isteri kadang-kala meminta cerai bertalu-talu sambil mencabar suami dalam keadaan tidak terkawal dan membawa kepada pergaduhan.

Rawatan sihir pemisahPusat Rawatan Islam Al Hidayah tidak menggunakan khidmat makhluk halus (sama ada jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dan tidak menggunakan sebarang perantaraan.

Ia berdasarkan tiga amalan utama iaitu:
1 Amalan bacaan al-Quran,
2 Berdoa memohon kepada Allah SWT
3 Perbanyakkan zikir (Laila hail'lallah)

Selain tiga amalan ini, perubatan ini menggunakan air mineral. Untuk rawatan sihir pemisah, perawat sedaya upaya berusaha menangkis sihir yang dikenakan kepada mangsa dengan izin Allah SWT Antara prosedur rawatan:-

1 Jin dan/atau sihir didalam tubuh badan hendaklah dikeluarkan melalui kaedah yang dipraktikkan perawat Al-Hidayah (dengan izin Allah) dan pesakit hendaklah datang berjumpa perawat untuk rawatan.

2 Membaca ayat al-Quran khusus serta mohon doa kepada Allah untuk sembuh.

Senarai ayat penawar sihir pemisah.

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit sihir pemisah diberi ayat berikut untuk diamal, disertai doa kepada 

Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

1 Surah Al-Baqarah ayat 165 hingga 186,
baca tiga kali selepas solat Maghrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah.

2 Surah Al A'raaf ayat 146 hingga 159, baca
tiga kali selepas solat Subuh atau siang hari dan mohon doa kepada Allah.


Penutup

Ancaman sihir yang berlaku bukan metafora atau omong kosong. Ia adalah realiti yang terpaksa dihadapi masyarakat. Selagi ada dendam, dengki dan iri hati, selagi itu iblis serta bala tenteranya berusaha menjerumus manusia kepada perkara yang terkeluar dari landasan syariat Islam.

Tiada jalan lain untuk menangani masalah sihir selain mendekatkan diri kita kepada Allah. Firman-Nya yang bermaksud;

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu)" (At-Taghaabun: Ayat 11)

Dirikanlah solat dan berdoa kepada-Nya agar kita sentiasa dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi menghadapi ujian dan dugaan-Nya. 

Mohonlah kepada-Nya untuk membantu kita terus istiqamah beribadah, diberi kekuatan bermujahadah melawan serta menangkis hasad dengki manusia dan tipu daya iblis laknatullah.

Wanita diculik along sempat SMS suami

Johor Bahru: Tindakan pantas seorang suri rumah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suami menyelamatkannya daripada dilarikan along.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata polis juga berjaya menahan penjenayah terbabit. 



Ugut bawa lari ke KL

Mereka juga meminta mangsa membayar sekurang-kurangnya RM500 dan jika gagal, dia akan dibawa ke Kuala Lumpur, katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Zainuddin berkata, akibat gagal menjelaskan bayaran itu, kumpulan terbabit memaksa wanita berkenaan masuk ke dalam sebuah kereta.

Bagaimanapun, wanita itu sempat menghantar SMS kepada suaminya termasuk memaklumkan jenis kenderaan dan nombor pendaftarannya. Suami mangsa yang bekerja di Larkin segera menghubungi polis. 
Polis berjaya mengesan kereta suspek di Taman Nusa Idaman, Bukit Indah di sini,jam 6.45 petang, katanya.



Seorang suri rumah berusia 20 tahun berdepan detik cemas apabila diculik selama dua jam 15 minit dari rumahnya di Taman Suria Muafakat di sini, kelmarin oleh sekumpulan along akibat kegagalan suaminya membayar pinjaman RM500 kepada kumpulan terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa bersendirian di rumah sebelum didatangi sekumpulan along terbabit.
Namun tindakan pantas mangsa menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya, seorang juruelektrik di bandar raya ini, ketika berada di dalam kereta along berkenaan berjaya menyelamatkannya daripada dilarikan sehingga ke Kuala Lumpur.

Hasil maklumat disampaikan oleh suaminya yang berusia 23 tahun kepada polis, kumpulan along terbabit yang terdiri daripada empat lelaki berumur 23 hingga 47 tahun berjaya ditahan kira-kira 15 kilometer dari kediaman mangsa.
Foto
ZAINUDDIN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan beberapa senjata yang ditemui bersama suspek.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, tindakan pantas mangsa bukan saja berjaya menyelamatkan nyawanya, tetapi pada masa sama membantu pihaknya menahan kumpulan along terbabit.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman di lokap IPD Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut.

Polis menemui beberapa senjata seperti kayu panjang, dua rotan dan satu buku lima dalam kereta suspek yang dipercayai digunakan untuk tujuan kekerasan ketika menuntut hutang, katanya.

Beliau berkata, mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 384 kerana menculik dan melakukan ugutan serta pemerasan.

Friday, 26 April 2013

Pengarah Esscom: Pengeluaran kad pengenalan laut Pantai Timur Sabah dihentikan


LAHAD DATU - Pengeluaran Kad Pengenalan Laut (SIC) telah dihentikan bagi pelaut dari Selatan Filipina susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Pantai Timur Sabah pada Februari lepas.
  
Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata pemansuhan itu berkuat kuasa 15 April lepas setelah didapati SIC sering disalah guna untuk kegiatan penyeludupan seperti dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia.
  
"Pemansuhan ini dilihat dapat mengurangkan kemasukan bot-bot dalam aktiviti perdagangan tukar barang atau barter trade di perairan Sabah, sekali gus mengekang kegiatan penyeludupan dan meningkatkan kawalan keselamatan sempadan laut Malaysia.
  
"Sepanjang tahun lepas, sebanyak 102 bot masuk ke Sandakan, yang mana satu bot sahaja mempunyai dokumen perjalanan sah.
  
"Di Filipina, aktiviti barter tidak diiktiraf menyebabkan rakyatnya keluar dan masuk ke negara ini untuk menjalani aktiviti ekonomi itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohammad berkata pemberian SIC kepada pelaut warga Filipina sebelum ini adalah bagi kemudahan untuk mereka menjalankan aktiviti perdagangan di negara ini dalam tempoh tujuh hari dan hanya dibenarkan berada di sekitar kawasan pelabuhan.
  
Sementara itu, beliau berkata pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu, masing-masing telah dibuka di Lahad Datu dan Kudat sejak 2 April lepas dalam usaha menangani masalah kemasukan secara haram warga asing ke Sabah.
  
ICQS itu buat masa ini beroperasi dari kabin sementara dan bagi melengkapi operasi pihak berkuasa di pintu masuk sedia ada di Tawau, Sandakan dan Semporna, katanya.  - Bernama
Credit: Sinar Harian

Thursday, 25 April 2013

Dua kereta milik anak calon PKR dibakar di Klang



KLANG: Dua Kereta milik anak perempuan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Seri Andalas, Xavier Jeyakumar rosak akibat dibakar di rumahnya, di Taman Klang Jaya, awal pagi tadi. 

Sangheta Jeyakumar, 30, berkata dalam kejadian dipercayai bermotifkan politik itu beliau sedang mengikuti bapanya berkempen. 


Saksi berkata, dua lelaki mencurah petrol sebelum membakar kenderaaan terbabit lalu melarikan diri. 




Timbalan Ketua Pengarah Kastam dipercayai ditembak


Shaharuddin Ibrahim
Shaharuddin Ibrahim. - Foto Ihsan Jabatan Kastam Diraja Malaysia


PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shahruddin Ibrahim dipercayai ditembak dalam kereta ketika perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, 8 pagi ini. 




Mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das dari jarak oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Sentosa, di sini.
Kejadian berlaku ketika kereta mangsa bersama pemandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba-tiba muncul dari belakang dan melepaskan tembakan ke arah mangsa. 
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpuur, Datuk Ku Chin Wah, berkata mangsa dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi ini.
Katanya, ketika kejadian, mangsa dan bersama pemandunya dalam perjalanan dari rumah mangsa di Dengkil ke pejabat beliau di Putrajaya.

“Mangsa dipercayai ditembak tiga das di leher dan kepala,” katanya ketika di sini, hari ini.




MURTAD 21 TAHUN


Seremban: Dua puluh satu tahun lamanya dia tersesat apabila keluar daripada Islam dan menganut agama lain semata-mata kerana cinta, namun kini lafaz kesyukuran tidak putus diungkapkan kerana Allah tetap mengurniakan hidayah untuk dia kembali ke pangkal jalan.
“Syukur Allah membuka pintu hati saya kembali kepada Islam selepas menziarah ibu yang sakit hujung bulan lalu. Ketika itu, terdetik di hati bagaimana saya mahu membaca surah Yasin sekiranya ibu bapa saya meninggal dunia kelak. “Persoalan itu yang akhirnya membawa saya kembali kepada Islam selepas 21 tahun menganuti agama lain,” kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Ros, 46.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia bertindak bodoh keluar daripada Islam selepas mahu berkahwin dengan suaminya yang kini berusia 50-an walaupun mendapat tentangan keluarga.

“Kerana cinta, saya ketepikan perasaan keluarga dan berkahwin di sebuah gereja di Kluang, Johor. Ketika itu saya mengambil keputusan tanpa berfikir panjang dan nekad memeluk agama dianuti suami saya,” katanya.
Foto

Bagaimanapun, kata Ros, tindakannya kembali kepada Islam menghadirkan dugaan amat hebat apabila suaminya kini mengganggunya, malah dia terpaksa berpisah dengan dua anak perempuan dan seorang anak lelakinya yang berusia 11 hingga 20 tahun.
Credit: Suraya Roslan

Wednesday, 24 April 2013

PERAGUT JADI "BEG TINJU"



AMPANG – Seorang peragut ditimpa malang apabila bukan sahaja gagal mendapatkan hasil samun malah, dia cedera selepas menjadi ‘karung tinju’ sekumpulan penduduk yang menangkapnya dalam kejadian di Pangsapuri Permai Court di sini kelmarin.
Kejadian pukul 11.30 malam itu berlaku apabila suspek berusia lingkungan 30-an tersebut dikatakan telah meragut beg tangan seorang wanita warga China sebelum jeritan mangsa didengari sekumpulan lelaki yang sedang bermain karom di bawah pangsapuri tersebut.
Difahamkan, mangsa dibelasah kerana dia cuba melawan untuk melepaskan diri setelah dikepung kira-kira 15 penduduk. Dia kemudian meminta maaf dan mohon dilepaskan.
Bagaimanapun permintaannya tidak diendahkan sebelum diserahkan kepada polis.
Mengimbau semula kejadian itu, wanita yang dikenali sebagai Fei, 48, berkata, dia bersama seorang lagi rakan senegaranya sedang berjalan kaki menggunakan laluan alternatif untuk pulang ke rumah dari tempat kerja.
“Tiba-tiba peragut datang dari belakang dan terus merentap beg tangan yang saya pegang.

Penyamun parah dibelasah orang ramai


SEREMBAN - Malang menimpa seorang lelaki apabila dia bukan sahaja gagal mendapatkan hasil samun malah, ditinggalkan rakan apabila melihat dirinya teruk dibelasah oleh orang awam dalam kejadian di Biz Avenue di Seremban 2 dekat sini semalam.
Kejadian pukul 3 petang itu berlaku apabila suspek bersama seorang lagi rakannya yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z cuba menyamun rantai leher seorang lelaki berusia 34 tahun.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang enggan menurut arahan cuba melawan menyebabkan suspek terus menetak kepala lelaki itu sebanyak dua kali sebelum cuba melarikan diri.

2 ASKAR KERAJAAN, 35 PENGGANAS KIRAM TERBUNUH

35 pengganas Kiram ditembak mati
KUALA LUMPUR 24 April - Pasukan keselamatan Filipina menembak mati 35 anggota pengganas Kiram dalam satu pertempuran sengit di Pulau Sibutu di negara jiran itu Sabtu lalu, ketika kumpulan tersebut merancang strategi untuk menceroboh dan menyerang pantai timur Sabah bagi mengganggu kelancaran Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menurut sumber, dalam pertempuran lewat malam itu, dua daripada kira-kira 200 anggota pasukan keselamatan Filipina yang terlibat dalam serangan tersebut turut terbunuh.

"Dengan kejayaan itu, satu lagi usaha pencerobohan pengganas Kiram yang diketuai pemimpin kanannya, Kalling Amirul untuk masuk ke negara ini berjaya digagalkan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Filipina.

"Dalam serangan berkenaan, Kalling dilaporkan terbunuh. Pasukan keselamatan turut merampas lebih 20 laras senjata api M16 dan rifel Garand," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sumber itu seterusnya berkata, rancangan kumpulan pengganas tersebut untuk menceroboh perairan pantai timur Sabah dipercayai bertujuan merencatkan kelancaran proses pilihan raya yang sedang berlangsung.

"Walaupun ancaman daripada pengganas ada tetapi kawalan keselamatan akan diperketatkan dari semasa ke semasa malah operasi-operasi membanteras akan terus mendapat kerjasama daripada kerajaan negara berkenaan.

"Oleh itu, keselamatan penduduk khususnya di Lahad Datu dan Semporna adalah terjamin dan hari membuang undi juga diyakini akan berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu, tambah sumber tersebut, pasukan marin Filipina turut mencatat kejayaan dengan penahanan tujuh daripada 18 pengganas Kiram selepas menahan sebuah bot di Pulau Sipangkut, Filipina semasa dipercayai dalam perjalanan ke Kampung Tanduo, Sabah.

"11 pengganas itu walau bagaimanapun berjaya melarikan diri," ujarnya.

Pada 19 April lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan cubaan kumpulan pengganas Kiram yang dibantu Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menyusup masuk ke perairan pantai timur Sabah bagi mengganggu kelancaran proses PRU-13.

Kumpulan pengganas bersenjata itu dikatakan merancang masuk ke negara ini pada waktu malam dan akan bergerak dalam beberapa kumpulan kecil ke daerah Sandakan, Beluran dan Kinabatangan bagi mengelak dikesan.

Walau bagaimanapun, usaha pengganas itu gagal setelah PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diarahkan untuk mengetatkan kawalan keselamatan di Sabah terutama menjelang hari penamaan calon dan pengundian.

PRU13: Abim mahu 6 Mei diumum cuti am



PRU13
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini meminta kerajaaan mengisytiharkan 6 Mei sebagai hari kelepasan am memandangkan ramai pengundi akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 5 Mei.

Pengundian kali ini jatuh pada hari Ahad.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, Abim menilai pelbagai pertimbangan seharusnya diambil kira untuk membenarkan rakyat menentukan masa depan negara ini tanpa sebarang kekangan dan halangan.

"Pertimbangan ini termasuk untuk memudahkan para pengundi yang duduk di luar lokaliti mereka untuk menunaikan hak mereka," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambahan pula, menurut beliau, pilihan raya ini menarik perhatian yang luar biasa dari pelbagai pihak serta perlu diraikan menerusi lunas-lunas demokrasi yang telah ditetapkan.

"Jika hari kelepasan am ini diberi, ia akan membantu mengelakkan sebarang kesulitan logistik seperti kesesakan jalan raya, ketiadaan tiket penerbangan serta kereta api.

"Jika perkara ini berlaku, dikhuatiri ia akan merencatkan jumlah kehadiran pengundi semasa pilihan raya diadakan. Adalah sesuatu yang mendukacitakan sekiranya mandat bakal diperoleh tidak menggambarkan refleksi suara rakyat sehingga ke akar umbi," kata beliau.

Amidi berkata, gesaan ini selari dengan semangat meraikan demokrasi yang dinyatakan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang berbunyi "majikan hendaklah membenarkan tempoh yang berpatutan bagi pekerja-pekerja mengundi."

Berdasarkan kepada kenyataan itu, katanya, adalah menjadi harapan agar pihak kerajaan dapat  mengumumkan segera pemberian cuti khas sempena PRU13 untuk memudahkan rakyat serta pihak-pihak berkenaan membuat perancangan seperti perancangan perjalanan dan pengurusan organisasi.

"Semoga gesaan ini mendapat perhatian daripada pihak yang sewajarnya ke arah memartabatkan karamah insaniah menerusi lunas-lunas demokrasi yang memenuhi citra penyataan kesaksian suara rakyat," katanya lagi.

Pengundian normal diadakan pada 5 Mei manakala pengundian awal pula 30 April.
Credit: Sinar Harian