Google+ Followers

Sunday, 23 December 2012

Wira muncul tepat masanya


BEAUFORT: “Kebetulan saya berada di kawasan berhampiran untuk membeli durian dan sebaik menerima panggilan kecemasan, saya bergegas ke lokasi. Sebaik tiba, saya melihat tangan mangsa terkapai-kapai dan cuba berpaut di tebing tiang konkrit yang tinggi untuk dicapai.

“Saya kemudian berlari dan segera memegang tangan mangsa dari tebing supaya dia tidak hanyut dibawa arus,” kata Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Beaufort Sharudy Delamin yang menyelamatkan seorang wanita dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun di tebing Sungai Padas, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa berusia 50 tahun dari Kampung Ulu Kimanis, dekat sini, dipercayai mengalami masalah peribadi sebelum bertindak cuba membunuh diri.
Menurut Sharudy, ketika sedang asyik membeli durian, beliau menerima panggilan daripada bilik kawalan menyatakan ada orang terjun di tebing Sungai Padas. Beliau menyedari tempat kejadian itu berhampiran lalu bergegas ke lokasi, dan melihat seorang wanita terkapai-kapai dalam sungai berhampiran tebing konkrit.

Tangan mangsa dapat dipegangnya sebelum dihanyutkan arus.

“Sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang tiba saat itu terus membantu mengeluarkan mangsa daripada permukaan air untuk dibawa ke kawasan selamat,”katanya.

Sementara itu, saksi dikenali sebagai Ahmad berkata, ketika kejadian, orang ramai melihat mangsa duduk di tebing sungai sambil menangis. “Mereka cuba memujuknya tetapi gagal. Bimbang keselamatan wanita itu, mereka menghubungi bomba.

“Bagaimanapun, wanita itu terus terjun, namun diselamatkan seorang pegawai bomba yang berada berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Joseph Ganang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada jam 10.07 pagi.

“Sebaik menerima laporan itu, sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian dan tiba dua minit kemudian,” katanya.

Credit: Junaidi Ladjana