Wednesday 26 December 2012

Kehilangan kreativiti


Internet sebabkan 'otak mati'

LONDON 26 Dis. - Seorang pencipta radio klasik, Trevor Baylis memberi amaran kepada generasi muda yang terlalu bergantung kepada Internet boleh mengakibatkan 'otak mati'.

Katanya, kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada penggunaan internet akan kehilangan kreativiti dan kemahiran kerana terlalu lama menghabiskan masa di hadapan skrin komputer.

Baylis berkata, dia bimbang generasi akan datang tidak tahu melakukan apa-apa dengan cara semulajadi dan menggunakan tangan.

Bagaimanapun dia berkata, generasi muda boleh mendapatkan kemahiran sekiranya sekolah menggunakan sistem pembinaan model dan lain-lain mainan praktikal.

"Kanak-kanak perlu didedahkan secara semulajadi dan bukannya belajar menerusi telefon bimbit atau pergantungan daripada komputer.

"Generasi muda hari ini bergantung sepenuhnya kepada pencarian Google. Keadaan ini menjadikan otak mereka mati dan tidak mampu melakukan sesuatu dengan cara yang lama,'' katanya.

Mengimbas kembali bagaimana dia memulakan kerjayanya, pencipta radio yang berusia 75 tahun itu, berkata dia mula mencipta peranti pada usia lima tahun.

"Suatu hari, seorang perempuan memberikan kotak yang berisi model pembinaan untuk dia menghasilkan sesuatu berdasarkan kreativitinya sendiri,'' ujarnya.

Jelasnya, penggunaan model pembinaan mampu meningkatkan kreativiti seseorang.

Beliau percaya bahawa cabaran mudah pada model pembinaan akan memberikan generasi muda hari ini kemahiran dan idea yang tidak ternilai. - AGENSI

No comments:

Post a Comment