Sunday, 23 December 2012

Kekejaman manusia di hutan Belum



GAMBAR yang diambil pada tahun 2009 ini menunjukkan pihak penguasa hidupan liar tempatan sedang berusaha menanggalkan jerat besi yang dipasang oleh pemburu haram.


PENYELUDUPAN dan pemburuan binatang liar turut menghantui Kompleks Hutan Belum-Temenggor (BTFC) seluas 300,000 hektar yang terletak di Perak.
Taman Negeri Royal Belum sudah digazetkan pada Mei 2007 manakala bakinya masih belum mendapat status yang sama.
Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) giat berkempen bagi memastikan seluruh BTFC diwartakan bagi memastikan kawasan hutan tertua yang dianggarkan berusia 130 juta tahun itu dapat dikekalkan.
Menurut pengarah eksekutif MNS, Shah Redza Hussein, usaha mewartakan perkara tersebut memakan masa yang panjang.
Kajian yang mendalam terhadap spesies yang hidup di situ dan kelainan flora serta faunanya mampu memberi impak dalam mendapatkan pengiktirafan tersebut.
Sepanjang menjalankan kajian, pasukan MNS harus melakukan ekspedisi ke dalam hutan selama berhari-hari bagi merekod setiap perilaku haiwan. MNS juga melakukan kerjasama dan kerja-kerja komuniti bersama penduduk Orang Asli.
Jerat pemburu

ATAS: Kaki tapir dengan kesan perangkap dirakam oleh jurugambar, Kae Kawanishi dan diterbitkan dalam Malaysian Naturalist.


Daripada gerak kerja mereka, MNS dapat mengesan aktiviti pemburuan dijalankan di Hutan Temenggor berlaku berdasarkan tinggalan jerat oleh pihak pemburu.
Selain itu, bekas-bekas tapak perkhemahan para pemburu boleh dikesan walaupun mereka sudah tidak ada di situ.
Para pemburu tersebut merupakan rakyat negara luar dan Shah Redza mendakwa kebanyakannya dari Vietnam, Kemboja dan Thailand.
"Mereka akan masuk ke dalam hutan selama berbulan-bulan bagi memburu dengan membawa bekalan perkhemahan yang cukup," cerita Shah Redza ketika ditemui di ibu pejabat MNS, Kuala Lumpur.
Perangkap menggunakan tali paling banyak digunakan. Jerat yang digunakan tidak mengenal jenis haiwan yang ditangkap. Semua haiwan pasti berisiko dijerat.
Laluan dan jarak lokasi berburu bergantung pada panjang jalan balak yang ada. Semakin jauh jalan balak diteroka, maka lebih banyak haiwan boleh ditemui.
Orang Asli yang bekerjasama dengan MNS turut memberi maklumat kepada pihaknya mengenai kemasukan orang luar ke dalam Hutan Temeggor.
Selain pembalakan dan pembangunan yang boleh menyebabkan hutan itu musnah, pemburuan juga boleh menyumbang kemusnahan dalam sesebuah ekosistem.

PERANGKAP binatang menggunakan tali merupakan kegemaran para pemburu.


Dalam sesebuah ekosistem hutan, setiap tumbuh-tumbuhan, serangga dan haiwan saling berkait supaya kitar semula jadi sentiasa berada dalam keadaan stabil.
Haiwan pemangsa yang banyak boleh menyebabkan pengurangan binatang yang menjadi mangsa. Paling penting, pemuliharaan hutan dapat memastikan kelangsungan kehidupan manusia.
Hutan merupakan sumber air yang menjadi asas semua kehidupan di muka bumi ini.
BTFC merupakan kediaman kepada 10 spesies burung enggang yang terdapat di dunia. Penemuan terbaharu MNS dapat mengesahkan sejenis pokok di hutan tersebut merupakan habitat dan tempat pembiakan salah satu spesies itu.
Bagi mendapatkan penemuan tersebut, pihak MNS perlu melakukan pemerhatian yang lama iaitu daripada peringkat membuat sarang sehinggalah penetasan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment