Friday, 28 December 2012

UTHM Anjur Seminar Antarabangsa Empayar Johor-Riau



FAKULTI Sains, Sastera dan Warisan (FSSW), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan Seminar Antarabangsa Empayar Johor-Riau bertema "Sejarah dan Warisan Cerminan Intelektualisme Bangsa". 

Seminar yang dilangsungkan di Dewan Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, yang berakhir hari ini membincangkan pelbagai aspek yang menyumbang kepada dunia warisan alam Melayu. 


Antaranya sejarah mengenai perkembangan politik dan ekonomi empayar Johor-Riau. Perbincangan aspek kesusasteraan Melayu pula bertumpu naskhah sastera Melayu atau sub-etnik dalam rumpun Melayu seperti Jawa, Bugis dan Banjar serta peranan pusat peradaban Melayu di empayar itu. 




Aspek antropologi dan sosiologi pula mengenai etnografi entiti masyarakat pribumi, budaya etnisiti, penempatan dan morfologi kampung tradisional serta peraturan hidup sesebuah masyarakat terpencil yang boleh diangkat sebagai warisan bersama. 


Cogan kebesaran Riau-Lingga

Pengajian Islam pula membabitkan perkembangan pendidikan Islam di Alam Melayu membabitkan pesantren, pondok dan madrasah serta sumbangan tokoh ilmuwan Islam, pendekatan dakwah dan tarbiah Islamiah dan pensejarahan kitab kuning di empayar Johor-Riau. 

Maharaja Abu Bakar-Sultan Johor

Kegiatan arkeologi pula merujuk kepada kerja cari gali, pemuliharaan bahan warisan dan penemuan serta sumbangannya terhadap kefahaman sejarah Johor di wilayah bekas empayar Johor-Riau. 




Seminar juga membincangkan aspek sains dan teknologi, iaitu hubungan ilmu sains, teknologi dan alam sekitar yang menumpukan aspek kaedah pemuliharaan dan pemeliharaan yang membabitkan sistem ekologi dan warisan maritim di wilayah Johor, Riau dan Lingga.



 

Seminar itu dianjurkan bagi meningkatkan perkongsian ilmu antara pakar mahupun masyarakat untuk menggalakkan kelestarian warisan sejagat, sekali gus mendorong FSSW merancak dan menyuburkan percambahan ilmu dan menghayati budaya intelektual di kalangan ahlinya dan masyarakat. 



KERIS KEBESARAN KERAJAAN JOHOR-RIAU-LINGGA. 



Memperingati 333 tahun Hulu Riau menjadi pusat kerajaan

Credit: Mohd Shafry Salim/Merah Silu.

No comments:

Post a Comment