Monday, 24 December 2012

Reputasi adalah aset bekerja



Empat perkara penting untuk menjadi pekerja mahir iaitu ilmu, latihan, pengalaman dan sikap. 

SATU hari ketika sedang minum-minum di R&R Jejantas Sungai Buloh seorang lelaki dalam usia tiga puluhan menegur dan menghampiri saya. Saya ajak dia temankan saya minum. 

Ketika itu dia meminta tip bagaimana mahu seronok bekerja kerana dia rasakan seolah-olah semangat kerjanya luntur. Majikan tidak nampak apa yang dia lakukan dan kawan-kawan cuba menjatuhkannya.

Saya cuma senyum sepanjang mendengar keluhan dan luahan hatinya itu. Setelah dia selesai berbicara, saya memaklumkan bahawa sepanjang dua puluh tahun saya terlibat memberikan motivasi pekerja di pelbagai organisasi sama ada di sektor kerajaan, swasta dan korporat saya telah menerima cerita yang sama daripada ramai orang seperti dia. Semua organisasi akan ada rungutan, keluhan dan cerita yang serupa. 

Dia bukanlah orang yang pertama berkata begitu. Hinggakan saya buat satu rumusan, tidak seronok bekerja di mana-mana pun, tidak kira syarikat itu kecil atau besar, kerajaan atau swasta, jawatan tinggi atau rendah dan sebagainya.

1. Kena nampak perjalanan kerjaya kita (career path).

Kita akan seronok bekerja apabila kita nampak penghujung perjalanan kerjaya kita. Kalau kita berhasrat untuk menjadi ketua satu hari nanti maka lakukanlah apa yang sepatutnya dilakukan bersesuaian sebagai seorang yang punya cita-cita untuk menjadi ketua. 

Kalau kita mahu mendapat Anugerah Pekerja Cemerlang maka lihatlah apa yang dilakukan oleh mereka yang pernah menerima anugerah tersebut lalu mencontohi mereka. Usah jadi orang yang bergantung kepada nasib dan menyerah kepada takdir. Cara terbaik meramal masa depan kita dalam kerjaya adalah dengan menciptanya sendiri.


2. Reputasi kerja adalah aset diri kita.

Apa sahaja yang kita lakukan sekarang bukanlah untuk organisasi atau orang lain sebaliknya untuk diri kita sendiri.


3. Tingkatkan kemahiran diri.

Kerja akan jadi lebih menyeronokkan apabila kita mahir melakukan kerja tersebut. Empat perkara penting untuk menjadi mahir iaitu ilmu, latihan, pengalaman dan sikap.


4. Jaga hubungan dengan orang lain.

Kita tidak mungkin dapat mencapai keseronokan apabila sering difitnah, diaibkan dan diperkatakan. Malangnya, bagi mereka yang suka buat kerja sebegini, lagi kita cuba mempertahan diri lagi menjadi-jadi pula. Lagi dilayan lagi meroyan. Tujuan mereka ialah supaya fokus kita terhadap kerja terganggu lalu prestasi kerja merosot. Langkah terbaik ialah senyum sahaja. Doakan mereka dan maafkan akan kejahilan mereka.


5. Syukur sekurang-kurangnya ada tempat menumpang cari rezeki.

Kita merungut tentang gaji yang tidak cukup, bonus tidak diperolehi, ganjaran tidak memadai, ketua yang tidak pandai memberi motivasi dan sebagainya. Tetapi kita lupa, bertahun-tahun kita bekerja itulah syarikat yang kita sama-sama menumpang rezeki. Oleh itu, sayangilah pekerjaan kita sekarang, kerana jika kita cari masalah akan berjumpa dengan masalah dan jika kita cari keseronokan akan berjumpa dengan keseronokan.


6. Hasil dan cara kerja kita ada kaitan dengan keberkatan rezeki.

Rezeki yang tidak berkat akan membawa pelbagai masalah seperti jiwa resah, anak-anak bermasalah, ujian dan bala datang bertimpa-timpa dan banyak lagi. Bila rezeki tidak berkat, kita beli barang pun mahal sedangkan orang lain dapat murah. Sebab ada sahaja cara duit yang tidak berkat itu mengalir keluar daripada akaun kita.


7. Kalau tidak mahu seronok, berhentilah sahaja. Berikan peluang itu pada orang lain.

Pelikkan, kalau sudah tidak mahu mencari keseronokan kerja kenapa masih duduk di situ. Kita tidak berlaku adil kepada pihak majikan apabila bertahun-tahun bekerja tetapi tidak memberikan yang terbaik sebaliknya sentiasa merungut, mencari salah, timbulkan masalah, berpuak-puak, malah ada yang cuba tikam belakang dan sabotaj. 

Kalau kita rasakan bahawa majikan yang ada sekarang tidak mahu atau tidak mampu memberikan apa yang kita cari, maka hantarlah surat berhenti dan carilah majikan yang baru. Beri peluang pada orang lain yang mahu bekerja memberikan khidmat mereka di situ.

Credit:  Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad

No comments:

Post a Comment