Wednesday 26 December 2012

Kejajaiban Bersedekah



Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam pasti lebih peka terhadap kesulitan dan kesusahan dihadapi saudara seagama di seluruh dunia. 

Apatah lagi apabila diuar-uarkan kisah penderitaan ditanggung saudara seagama sejak lebih 60 tahun lalu, tidak lain tidak bukan, rakyat di bumi Palestin. 

Kenapa sedekah dan bantu-membantu itu sering beriringan? Ini kerana ia adalah dua sikap yang lebih kurang sama. Kita membantu orang yang berada dalam kesusahan, ia juga dikira sedekah. Malahan, senyuman manis dan perkataan baik yang mendamaikan hati dan telinga orang yang mendengar pun adalah sedekah.

Hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW bersabda setiap anggota badan manusia bersedekah setiap hari selama matahari masih terbit. Kamu mendamaikan antara dua orang (yang berselisih) adalah sedekah, kamu menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, berkata yang baik itu adalah sedekah, setiap langkah berjalan untuk solat adalah sedekah, dan menyingkirkan suatu halangan dari jalan adalah sedekah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, tidak pula dinafikan ada segelintir masyarakat kurang prihatin terhadap impak positif amalan sedekah terhadap dirinya dan juga masyarakat. Mereka berasa harta kurang apabila memberi selain berasa takut kehilangan barang kesayangan. 

Mereka inilah yang kurang kefahaman dan keyakinan mengenai kelebihan bersedekah seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Sunnah.

Bagi yang kurang faham, bukalah hati dan minda untuk memahami betapa besarnya ganjaran yang Allah sediakan. Terdapat sifir mudah termaktub di dalam al-Quran di dalam Surah al-Anam, ayat 160, yang bermaksud, “Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya.”

Dalam hal ini, Pengetua Pondok Pesantren Daarul Quran Bulak Santri, Indonesia, Yusuf Mansur mempunyai penjelasan mengenai keajaiban sedekah.

Katanya, berdasarkan dalil al-Quran di atas, setiap kali kita memberi satu, kita akan mendapat 10. Asalnya, sekiranya kita ada 10, kita berikan satu pada orang lain yang memerlukan, baki yang kita ada ialah sembilan (10 – 1 = 9). 
Amalan jadikan mukmin tenang, raih ganjaran 700 kali ganda.

Dewasa ini amalan bersedekah dan bantu-membantu sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk berbilang kaum serta budaya di negara ini. Sikap ini terus berkembang merentasi sempadan dunia hingga sampai ke negara memerlukan bantuan. 

Hal ini kerana semua fahaman agama yang berbeza mempunyai prinsip amalan nilai murni yang sama. Agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, malah ajaran fahaman Confucius dan Taoist juga mengajar penganutnya agar sentiasa menjaga kebajikan masyarakat sekeliling dengan cara berkasih sayang dan saling membantu.

Tetapi apabila kita amalkan formula sifir ini dalam konteks sedekah, nilaian satu yang kita berikan itu akan digandakan dengan 10. Oleh itu, baki yang kita miliki selepas memberi satu tadi bukan sembilan, tetapi 19.

Ini adalah jumlah yang kita miliki selepas memberi atau bersedekah (1 x 10 = 10). Natijahnya, baki yang kita ada apabila ditambah dengan gandaan 10 tadi ia menjadi 19 (9 + 10 = 19 ). Jika beri dua, maka hasilnya akan dapat 28, dan begitulah seterusnya.

Jika kita memberi, memang secara zahirnya apa yang kita miliki itu akan berkurang. Namun, ia bertambah di sisi Allah SWT, malahan ganjarannya boleh sampai sehingga 700 kali ganda. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Apabila memahami sifir sedekah di atas, maka yakinlah sedekah akan menjadikan kita kaya dengan sekelip mata. Masakan tidak kaya, apabila memberi satu, bukan berkurang, tetapi ditambah dengan gandaan 10. Malah boleh digandakan hingga 700 kali ganda. 

Justeru, jadikan amalan sedekah bukan sebagai amalan kebetulan iaitu jika tidak ke masjid, tidak bersedekah. Jika bukan hari Jumaat, tiada yang mahu disumbangkan, tetapi jadikanlah ia sebagai amalan harian. 

Kalau tiada yang meminta, kitalah yang mencarinya. Alangkah hebatnya seorang Muslim yang tidak akan tenang hatinya jika tidak dapat memberi dalam sehari.

Credit: Safarina Mohd Fathoni (USIM).

No comments:

Post a Comment