TIADA fenomena pelik yang berlaku pada tarikh 21 Disember lalu. Tarikh yang jatuh pada hari Jumaat itu sebelum ini diramalkan sebagai hari terakhir manusia hidup di muka bumi.
Hakikatnya, bumi masih bernafas, rutin sistem suria dan Bima Sakti juga masih berfungsi seperti biasa. Ternyata teori ramalan bahawa kiamat akan berlaku pada tarikh tersebut sama sekali meleset.
Seorang ahli falak terkenal Perancis, Dr. Nostradamus pernah meramalkan bahawa kiamat akan muncul pada awal kurun 21. Dia yang hidup di sekitar abad ke-16 turut menjelaskan bagaimana kejadian kiamat itu berlaku.
Menurutnya, pada tarikh 21 Disember 2012, kedudukan kutub utara dan kutub selatan tidak lagi tetap pada tempatnya dan mula menyenget.
"Ia adalah permulaan kepada bencana besar yang bakal melanda seluruh dunia.
"Apabila kedua-dua kutub semakin tergelincir daripada paksinya, akan berlakulah gempa besar yang bakal memecah-belahkan bumi bermula dari bahagian barat iaitu di benua Amerika.
"Plat bumi yang berpecah itu kemudiannya merebak hingga ke bahagian timur bumi yang menempatkan Jepun dan negara-negara Asia yang lain," katanya.
Nostradamus sebelum itu pernah membuat ramalan tentang tarikh tercetusnya perang dunia pertama dan perang dunia kedua. Kedua-dua ramalannya itu tepat.
Selain ramalan Nostradamus, beberapa tahun kebelakangan ini penduduk dunia turut dimomokkan peminat fanatik kalendar mistik kaum Maya yang turut meramalkan dunia akan kiamat pada tarikh yang sama.
Menurut kalendar tersebut, tarikh 21 Disember 2012 ialah hari terakhir penduduk bumi merasai kehidupan dan ia dipercayai sebuah tarikh pemusnahan berdasarkan kepada teori putaran bintang Marikh yang songsang ketika ini.
Begitupun, bagi kaum Maya yang mewarisi kalendar mistik tersebut, mereka menganggap ramalan itu karut.
"Kalendar mistik Maya hanya menyatakan tarikh berakhirnya fasa baktun.
"Baktun ialah putaran lengkap satu era dalam kalendar Maya yang mengambil masa 63,123,288 tahun untuk disempurnakan.
"Pengakhiran sesuatu baktun akan membawa kami kepada baktun atau era yang baharu. Ia tiada kena-mengena dengan pengakhiran atau kemusnahan dunia apabila baktun itu berakhir.
"Namun apa yang peliknya, ramai terutamanya bukan daripada kaum Maya yang mengatakan bahawa pengakhiran baktun ialah hari berlakunya kiamat," jelas seorang lelaki Maya, Santos Esteban yang tinggal di perkampungan Maya di Yaxuna, bahagian timur Mexico.
Tidak percaya
Lokasi perkampungan yang menempatkan sekitar 700 orang Maya itu diwarisi daripada kerajaan kuno yang wujud lebih 2,000 tahun Sebelum Masehi lagi.
Menurut agensi berita antarabangsa seperti Telegraph dan CNN, orang Maya hanya menggelengkan kepala dan mengerutkan dahi apabila ditanya tentang tarikh kiamat yang diramal berlaku pada Jumaat lalu.
"Saya tidak percaya tentang ramalan kiamat. Logiknya, tidak ada manusia pun yang boleh beritahu dengan tepat bila kiamat akan berlaku.
"Soal kiamat bukan perkara kecil. Hanya Tuhan yang tahu bila Bumi akan hancur," kata lelaki Maya, Socorro Poot kepada Telegraph.
Biarpun ada sebilangan penduduk dunia yang melakukan pelbagai persediaan menjelang tarikh ramalan kiamat yang jatuh kelmarin, masyarakat Maya tetap menjalani rutin harian mereka seperti biasa, seolah-olah tiada sebarang perkara buruk yang akan terjadi pada tarikh tersebut.
"Hari ini, walaupun orang luar percaya kiamat akan berlaku, saya masih lagi membakar roti tortila di atas dapur kayu api manakala suami sedang tekun memasang atap daun palma yang dianyam sendiri di bumbung rumah kami.
"Kami tidak yakin tarikh berlakunya kiamat boleh ditentukan menggunakan kalendar yang kami warisi," ujar Ixchel Tortuga, 34.
Sementara itu, penduduk yang tinggal di lokasi runtuhan kuil Maya di bandar Coba, turut menganggap hari pengakhiran baktun tiada bezanya dengan hari-hari lain.
"Ia hanya tarikh yang diambil dari kalendar lama. Saya masih bekerja seperti biasa.
"Ramalan kiamat ini hanya satu mitos yang tidak betul. Namun, ia juga rezeki kepada kami kerana jutaan pelancong asing datang ke sini di sini sejak Januari lalu," kata peniaga minuman, Julian Nohuicab.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment