Google+ Followers

Saturday, 22 December 2012

Jangan layan individu minta maklumat kad kredit


KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan agar tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dari sebuah bank tempatan dan meminta pengesahan transaksi kad kredit atau berkaitan tunggakan kad kredit.
  
Pengerusi Biro Aduan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Wilson Lau Hoi Keong berkata ini kerana panggilan itu mungkin daripada anggota sindiket penipuan kad kredit.
  
"Modus operandi sindiket itu ialah dengan menelefon mangsa dan mendakwa  sebagai pegawai bank dan memberitahu bahawa mangsa mempunyai tunggakan bayaran kad kredit yang perlu segera dijelaskan," katanya pada sidang akhbar di sini.
  
Beliau berkata pemanggil kemudian meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke akaun pihak ketiga atas alsan untuk melindungi keselamatan wang itu dan transaksi tersebut dirahsiakan.
   
Katanya, setakat ini, pihaknya menerima 18 aduan daripada mangsa penipuan sindiket itu.

Seorang ahli perniagaan, William Pheng, 39, yang hadir pada sidang akhbar itu, mendakwa beliau hampir terpedaya apabila menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku pegawai sebuah bank.
  
Beliau berkata 'pegawai bank' itu memintanya mengesahkan transaksi kad kredit bagi pembelian barangan dari luar negeri.
  
"Saya menjawab bahawa saya tidak ada membuat sebarang transaksi berkenaan dan pegawai itu kemudian memberikan nombor lain untuk pengesahan. Apabila saya menghubungi nombor telefon itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai Bank Negara meminta maklumat berkaitan akaun perbankan dan kad kredit saya.
  
"Lelaki itu arahkan saya untuk memindahkan wang di kaunter kepada akaun pihak ketiga atas alasan memastikan wang saya dilindungi, dan meminta agar saya merahsiakan transaksi itu," katanya.
  
Pheng berkata beliau yang meragui permintaan lelaki itu menelefon Bank Negara, dan dimaklumkan nama lelaki itu tidak ada dalam senarai pegawai bank pusat tersebut. - Bernama