Google+ Followers

Wednesday, 19 December 2012

Penduduk Islam kedua paling ramai di dunia


WASHINGTON 18 Dis. - Penganut Islam menduduki tempat kedua sebagai penduduk paling ramai di dunia berjumlah 1.6 bilion orang, berdasarkan kajian oleh pusat kajian, Pew Forum on Religion and Public Life yang diterbitkan, hari ini.

Menurut pusat kajian itu, penganut Kristian merupakan penduduk paling ramai di dunia berjumlah 2.2 bilion iaitu 32 peratus daripada penduduk dunia.Pew Forum on Religion and Public Life mengumpul data berdasarkan saiz dan penyebaran geografi ke atas lapan kumpulan agama utama termasuk yang tidak mempunyai agama.

Penganut Hindu merupakan kumpulan ketiga terbesar dengan satu bilion orang diikuti penganut Buddha sebanyak 500 juta orang.

Penduduk Yahudi pula berjumlah 14 juta orang iaitu kira-kira 0.2 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia.

Kajian demografi di seluruh dunia melibatkan lebih 230 buah negara itu mendapati, lebih lapan daripada 10 orang iaitu kira-kira 5.8 bilion orang termasuk dalam satu kumpulan agama.

Kajian itu juga menunjukkan lebih 400 juta orang mengamalkan pelbagai tradisi lama termasuk tradisi Afrika, kaum asli atau agama dahulu kala.

Pew Forum on Religion and Public Life berkata, kajian itu berdasarkan hubungan individu dan agama, tetapi tidak mengukur sejauh mana amalan agama oleh individu tersebut. - AFP