Islam tidak mewajibkan kepada keluarga Muslim untuk memberi nama anak baik lelaki mahupun perempuan dengan nama tertentu sama ada dalam bahasa Arab atau bukan bahasa Arab. Islam menyerahkan hal itu kepada keinginan keluarga tetapi dengan pertimbangan yang baik, sesuai syariat. 


Antaranya, nama itu hendaklah nama yang baik supaya orang lain tidak memandang buruk dan apabila anak dewasa serta berakal, ia tidak merasa terhina dengan nama itu. 

Justeru, hendaklah hindari daripada nama yang mempunyai maksud tidak baik, hina atau lambang kepada penjahat, penderhaka dan sebagainya. Nabi SAW biasanya mengubah nama yang buruk menjadi nama baik. 

Orang yang bernama Qalil (sedikit) diubah dengan nama Kathir (banyak) dan orang bernama Ashiyah (wanita derhaka) diganti dengan Jamilah (wanita yang cantik).

Jangan menggunakan nama Abd (hamba) yang disandarkan kepada selain Allah seperti Abdul Ka’bah, Abdul Nabi, Abdul Husain dan sebagainya. 
Hindari nama yang menunjukkan kesombongan dan menyanjung diri kerana Rasulullah SAW bersabda: “Sehina-hina nama di sisi Allah SWT pada hari kiamat ialah orang yang bernama Malikul Amlak (raja segala raja). Tidak ada raja (yang berkuasa) selain Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Begitu juga jangan menggunakan nama Allah daripada Asmaul Husna yang hanya khusus untuk Allah SWT seperti ar-Rahman, al-Muhaimin, al-Jabbar, al-Mutakabbir, al-Khaliq, al-Bari’. Nama lain yang tidak khusus untuk Allah boleh digunakan seperti Aziz, Halim, Rauf, Karim dengan syarat tidak memasukkan al (Alif Lam) seperti al-Aziz, al-Halim, ar-Rauf.

Islam sangat menggalakkan umatnya memberi nama dengan nama-nama nabi, orang soleh untuk mengabadikan kenangan kepada mereka dan menimbulkan kegemaran meneladaninya. Demikian juga digalakkan memberi nama Abd (hamba) yang disandarkan kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW: “Nama-nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman.” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan lain-lain)

Islam tidak melarang menggunakan nama bukan Arab yang mempunyai erti yang baik menurut bahasanya. ramai orang Islam yang pada awalnya bukan Islam, masih tetap menggunakan nama asal mereka sama ada lelaki atau perempuan. 

Contoh terdekat ialah Mariyah Qibthiyyah iaitu isteri Nabi SAW yang mempunyai anak bernama Ibrahim. Selain itu, jika kita perhatikan nama sahabat dan tabiin, nescaya kita dapati nama asalnya adalah nama tumbuhan seperti Thalhah, Salmah dan Hanzalah. 

Atau nama benda-benda mati seperti Bahr (laut), Jabal (gunung) dan seumpamanya. Nama terdahulu yang patut diteladani seperti Ibrahim, Yusuf, Ismail, Maryam. Oleh itu, boleh saja menggunakan nama Arab atau bukan Arab bertepatan dengan tuntutan.