Friday, 28 December 2012

Menipu makan diri


Lt. Kol. Dr. Lotfi Anuar


APABILA menyedari diri berada dalam keadaan tidak selamat dari segi kewangan, nama baik dan populariti, orang sanggup menipu. Mereka cuba mengawal segala kekalutan yang dihadapi sebaik mungkin di samping cuba mendapatkan 'penghormatan' kawan-kawan atau masyarakat sekeliling.

Pakar Perunding Psikiatri Am dan Aviasi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Lt. Kol. Dr. Lotfi Anuar berkata, sesetengah individu menipu kerana takut untuk berkata perkara sebenar bagi menutup rasa malu.

"Contohnya seperti seseorang yang menipu untuk menjaga perhubungan dengan orang tersayang. Mereka terikut-ikut dengan ungkapan 'lies doesn't break the relationship but the truth does'.

"Mereka biasanya memberi alasan untuk 'menjaga perasaan' tetapi mereka lupa perhubungan yang dibina atas dasar menipu itu lebih mudah goyah apabila kebenaran muncul satu hari nanti," jelasnya ketika ditanya pendapat tentang sikap manusia yang suka berbohong atau menipu daripada bercakap benar.

Tambahnya, sikap pentingkan diri juga boleh menyebabkan seseorang menipu. Ia biasanya bertujuan untuk mempermudahkan urusan diri atau mengelakkan kesusahan.

Bagaimanapun kata Dr. Lotfi, tabiat menipu individual tidak boleh dikaitkan dengan kerjaya atau golongan tertentu.

"Manusia mempunyai pelbagai jenis ragam dan personaliti. Memang ada jenis personaliti yang agak cenderung kepada tabiat menipu. Begitu juga dengan beberapa jenis penyakit mental yang pengidapnya memang kita tahu suka menipu.

"Bezanya mereka ini pesakit dan tidak ramai orang berminat untuk ambil tahu. Tetapi jika perbuatan menipu itu melibatkan seseorang yang dikenali ramai, maka ia akan kelihatan seperti sebuah kebiasaan atau trend," katanya.

Jelasnya, sebagai individu yang menjadi tumpuan masyarakat, artis atau selebriti perlu berhati-hati dalam menyatakan sesuatu isu kerana bimbang perkara tersebut disensasikan oleh orang berkepentingan.

Ini kerana gosip-gosip yang dikatakan liar itu kebanyakannya membicarakan tentang perkara-perkara yang kurang enak dan tidak menyenangkan.

"Walau apa pun, jika selebriti sendiri memilih untuk menipu bermakna mereka perlulah menanggung kesan akibat daripada penipuan tersebut.

"Menipu sebenarnya memburukkan lagi keadaan terutamanya jika melibatkan public figure. Ramai orang memerhati dan mengikuti perkembangan semasa. Dan perlu diingat, ramai juga orang yang akan melaporkan keadaan sebenar tentang diri mereka," tambahnya.

Kata Dr. Lotfi, sikap suka berdolak-dalih dalam menyatakan perkara benar hanya memakan diri sendiri dan mengundang masalah yang lebih besar.

Kepercayaan akan hilang dan masyarakat mula mempertikaikan keupayaan individu sebagai seseorang yang boleh memegang amanah atau jujur.

Oleh yang demikian katanya, bercakap benar adalah pilihan terbaik walaupun pahit. Jiwa tidak akan tenang jika berterusan menipu. Seseorang yang bercakap benar akan lebih dihormati.

"Masyarakat pasti lebih mudah memaafkan atau melupakan kesilapan yang telah dilakukan. Berani kerana benar, takut kerana salah. Daun tidak akan bergoyang jika tiada angin.

"Dalam bidang sains sekalipun perlu ada bukti untuk menyokong sesuatu fakta. Masyarakat sekarang lebih bijak dan berfikiran kritis. Mereka boleh menilai sesuatu penipuan," katanya.

Tambahnya, tidak ramai orang boleh menjadi penipu yang baik. Penipu professional sekalipun perlu belajar selok belok menipu secara khusus sebelum layak mencari mangsa.

Apatah lagi kita rakyat Malaysia yang telah dididik dengan nilai-nilai murni dan ajaran agama sejak dari kecil. Lagi banyak menipu, lagi banyak tembelang pecah dan lebih banyak kelemahan diri akan terdedah.

Dalam pada itu Dr. Lotfi berkata, setiap orang perlu sentiasa jujur kepada diri sendiri, hadapi kenyataan dan yakin kepada diri sendiri kerana maruah dan kehormatan boleh diperolehi dengan cara lain selain menipu.

"Contohnya dengan berbuat baik kepada semua orang serta menjaga adab sopan dan keterampilan di tempat awam. Ia sebenarnya memberi kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang pernah melihat anda secara langsung.

"Sekiranya ada gosip-gosip liar dilemparkan terhadap mereka orang akan berfikir banyak kali sebelum mempercayainya. Hormatilah orang untuk mendapat penghormatan daripada orang lain.

"Ini termasuk perasaan dan pandangan orang. Jangan mudah melatah dan sentiasa kawal emosi walaupun ketika dicabar atau diprovokasi," jelasnya.

Menurut Dr. Lofti, kadang-kadang berdiam diri dan bersabar juga adalah lebih baik terutamanya ketika diajukan sebarang soalan yang tidak selesa.

Simpan sahaja jawapan kepada diri sendiri. Belajar menolak dengan berhemah pertanyaan yang belum sedia untuk dijawab. Jangan memberi janji kosong dan elakkan daripada memberi respons mengelirukan yang boleh memberi pelbagai makna.

Apabila ditanya apakah kesan kepada mereka yang suka menipu, katanya, orang berkenaan boleh menipu semua orang tetapi tidak boleh menipu diri sendiri.

"Ini kerana jiwa manusia tahu apa yang dikatakan oleh mulut itu benar atau tidak. Fitrah manusia apabila berbuat kesalahan seperti menipu, dia akan gelisah, risau dan bimbang.

"Melainkan jika dia memang seorang yang berhati kering. Perasaan sebegini mengundang syak wasangka dan menjejaskan kesihatan. Mereka juga boleh mendapat kemurungan atau gangguan tidur," ujarnya.

Kata Dr. Lotfi, orang menipu mudah sensitif jika ada seseorang berkata tentang perkara yang berkaitan dan mudah melenting walaupun di khalayak ramai. Ini mendedahkan lagi kelemahan dan yang lebih penting boleh memalukan diri.

Tambahnya, memang ada orang yang jenis love to hear the lies when he knows the truth semata-mata untuk memastikan si penipu tersebut terus menggali lubang kuburnya dengan lebih dalam lagi.




No comments:

Post a Comment