Saturday, 29 December 2012

Nazar tak digalak

Secara umumnya hukum nazar 
adalah harus. Harus bermaksud ia boleh dilakukan tetapi bukanlah digalakkan seperti amalan sunat yang lain. 

Jika seseorang bernazar untuk melakukan sesuatu, maka amalan itu menjadi wajib bagi dirinya, sedangkan pada asalnya amalan itu tidak wajib. 


Beliau wajib menunaikan nazar itu dan jika tidak dapat menunaikan nazar pula akan dikenakan kafarah nazar. 


Melafazkan nazar memang mudah tetapi ketika hendak menyempurnakan nazar kadang-kadang berlaku kekangan tertentu seperti lupa, kesempitan wang, kesibukan dan sebagainya. Tuntutan menunaikan nazar itu tidak akan hilang begitu saja, sebaliknya kekal dan terus berlanjutan selagi tidak dipenuhi atau ditebus dengan kafarah nazar. 

Oleh itu adalah lebih baik tidak bernazar. Justeru, ada ulama yang menghukum makruh bernazar kerana kemungkinan nazar yang tidak dapat dipenuhi. 

Mengikut pandangan ulama, antara sebab nazar tidak digalakkan ialah kerana mengaitkan amal ibadah dengan keberhasilan sesuatu hajat atau permohonan. Contohnya, mengaitkan ibadat puasa dengan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. 


Orang yang bernazar hanya akan berpuasa apabila lulus dalam peperiksaan itu. Jika gagal, dia tidak akan berpuasa sedangkan ibadah puasa dituntut untuk dibuat sama ada orang yang bernazar tersebut lulus atau gagal. Ibadat hendaklah dilakukan dengan penuh tulus ikhlas kepada Allah. 

Nazar bukanlah sokongan yang menyebabkan doa dimakbulkan atau sesuatu hajat akan mendapat perhatian daripada Allah SWT sehingga seorang perlu meletakkan syarat terlebih dulu untuk membuat permohonan.

Nazar tidak akan mengubah apa-apa, atau dengan kata lain bukanlah memberi satu nilai tambah dalam berdoa atau berharap. 


Ini dapat dilihat daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah kamu bernazar, sesungguhnya nazar tidak akan mengubah sedikitpun ketentuan Allah, hanya dapat mengeluarkan seseorang dari sifat bakhil.” - HR Muslim.
 
Seseorang yang bernazar berkaitan harta seperti membuat kenduri dan sebagainya tentulah akan mengeluarkan belanja untuk tujuan tersebut dan ini akan mendidiknya untuk mengikis sifat bakhil. 

Jika seseorang ingin beramal jariah seperti mengadakan kenduri dan sebagainya, sebaiknya menggunakan lafaz yang tidak menunjukkan nazar seperti: “Jika saya berjaya dalam temu duga ini dan ada kelapangan saya ingin buat kenduri”. Ulama juga sepakat bahawa jika seseorang berniat saja untuk melakukan sesuatu tanpa melafazkannya, maka ia tidak dikira sebagai nazar. 

Walaupun begitu jika seseorang bernazar dan kemudian menunaikan nazarnya dengan sempurna maka dia termasuk dalam golongan yang dipuji oleh Allah.

No comments:

Post a Comment