Tuesday, 25 December 2012

Seronok jika diajar betul


KEPUTUSAN Penilaian Menengah Rendah (PMR) sudah diketahui minggu lalu. Daripada 481,424 pelajar yang mengambil peperiksaan itu, seramai 30,474 memperolehi keputusan paling cemerlang.

Selepas PMR, mereka akan memasuki tingkatan empat tetapi ramai yang mencongak untuk mendapat tempat di sekolah berasrama penuh.
   
  • Foto
  • Foto
Lazimnya, pelajar cemerlang tentu mempunyai keinginan memasuki aliran sains kerana jaminan memasuki institusi pengajian tinggi selain tawaran pekerjaan lebih cerah.

Bagaimanapun, penurunan pencapaian subjek Sains dan Matematik dalam setiap peperiksaan utama setiap tahun kini menimbulkan pertanyaan.

Adakah penurunan itu bagaikan isyarat senyap bahawa dua subjek berprestij itu semakin kurang diminati hingga pelajar ‘meluahkan’ dalam peperiksaan atau kerana ketidakfahaman menjawab hingga gagal mencapai keputusan yang baik?

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Abdul Rashid Mohamed, berkata penurunan atau kenaikan peratusan pelajar dalam peperiksaan adalah normal.

Bagaimanapun, setiap keputusan masih memerlukan kajian, analisa dan tindakan segera bagi memastikan risikonya tidak berpanjangan dan menimbulkan implikasi lain .

“Dalam sistem peperiksaan, turun naik statistik pencapaian pelajar adalah normal namun masih memerlukan tindakan susulan bagi mencari punca.

“Peningkatan atau penurunan itu adalah isyarat untuk memberitahu ada kelemahan atau lompong perlu diperbaiki.

“Apatah lagi setiap sasaran diletakkan pada manusia (pelajar). Sudah tentu ada pelbagai kemungkinan sukar dijangka,” katanya.

Biarpun keputusan subjek Sains dan Matematik terus menunjukkan penurunan, beliau berkata, pihak terbabit tidak perlu melatah, sebaliknya memikirkan faktor dan tindakan mengatasinya.

Menurutnya, penurunan itu mungkin berpunca daripada faktor kecil dan remeh, namun pihak terbabit sama ada sekolah, guru atau kementerian terlepas pandang hingga akhirnya menjejaskan prestasi pencapaian.

“Faktor yang dianggap kecil dan remeh lebih berbahaya. Sebab itu, semua pihak perlu mempunyai sikap peka kerana kesan yang bakal diperoleh boleh melepasi jangkaan.

“Malangnya, ramai keliru dan menganggap sains dan matematik hanya sekadar angka atau formula.

“Tidak ramai nampak atau memahami apa sebenarnya kedua-dua subjek itu dan tujuannya,” katanya berpendapat jika diajar dengan cara betul, ia boleh memberikan keseronokan berganda kepada pelajar.

“Keseronokan ini tidak terbatas dalam akademik semata-mata sebab konsep pemahaman sains dan matematik sangat luas.

“Malangnya, mereka tidak dapat menikmati keseronokan itu kerana pendedahan diterima adalah melalui cara tekanan iaitu belajar dan menghafal.

“Sains dan matematik mempunyai hubung kait paling rapat dengan kehidupan. Cara pembelajaran penuh tekanan serta konsep pembelajaran salah boleh menyumbang kegagalan akademik dan aspek lain,” katanya.

Kebimbangan itu berasas apabila pelajar yang mengikuti aliran sains semakin menurun sehingga 29 peratus tahun ini berbanding sasaran 60 peratus.

Sebaliknya, peningkatan dalam aliran sastera semakin ketara disokong faktor tarikan termasuk tanggapan aliran sastera lebih mudah, mampu menawarkan tempat lebih tinggi di institusi pengajian serta peluang pekerjaan lebih banyak.

Manakala aliran sains pula dianggap lebih sukar bukan saja dari segi akademik malah peluang kerjaya semakin terhad dengan tiada pengenalan kerjaya baru.

Pelajar aliran sains, katanya, sudah tentu mahukan timbal balas yang mampu memberi mereka banyak kelebihan setimpal cabaran kesusahan sewaktu belajar.

“Namun, apa yang mampu ditawarkan bidang pekerjaan di negara kita bagi aliran itu hanya perubatan (yang terbesar), pegawai penyelidik, dan pensyarah.

“Skop kerjaya yang kecil menyebabkan penurunan permintaan.

“Berbanding negara lain, tawaran pekerjaan lebih banyak malah ada kerjaya baru diwujudkan dalam bidang tertentu yang fokus pada keperluan sains menyebabkan sains dan matematik satu kemestian,” katanya.

Cara belajar juga, katanya, menjadi penyumbang mengapa sains dan matematik sukar dikuasai.

“Pelajar di negara kita mempunyai cara belajar ‘kurang’ sempurna iaitu suka menghafal. Di negara lain, pembinaan asas pemahaman dilakukan dengan pelbagai teknik seperti penggunaan deria dan bantuan persekitaran.

“Menggunakan hafalan bagi memahami sains dan matematik bukanlah proses pembelajaran yang baik. Mereka menghafal hanya untuk membolehkan menjawab soalan.

“Jika soalan ditukar, mereka tidak boleh menjawab sebab konsep sains dan matematik itu berdiri pada asas pemahaman bukan menghafal,” katanya.

Pada masa sama, katanya pemilihan guru sekolah rendah perlu dari kalangan yang terbaik kerana mereka yang akan memulakan asas pembelajaran dan pemahaman pelajar.

“Sekolah rendah adalah ‘ibu’ segala asas pembelajaran dan pemahaman kerana di situlah pelajar didedahkan proses membaca, mengira, menulis dan memahami.

“Manakala sekolah menengah adalah proses pemantapan kefahaman dan pembelajaran. Pelajar hanya perlu dibimbing dengan kaedah pembelajaran berbeza dan lebih menyeluruh sebagai persediaan menuju pengajian tinggi.

“Jika asas pemahaman dan pembelajaran kukuh, proses seterusnya menjadi mudah. Malangnya kita kekurangan kualiti dan sentuhan guru yang baik mengakibatkan timbul pelbagai masalah,” katanya.

Berharap agar sistem pendidikan dipertingkatkan bagi menjamin kejayaan taraf negara maju menjelang 2020, beliau berkata usaha perlu diganda dan diberi penambahbaikan.

“Antaranya modul dan sistem perlu diselaraskan dengan perkembangan semasa, pengambilan guru berkualiti, kaedah pedagogi yang betul dan sebagainya.

“Fahami definisi negara maju itu sendiri, barulah kita boleh membangunkan sains dan matematik sebagai satu mekanisme penting yang sukar ditolak sesiapa pun,” katanya.

Credit:  Ruhaiza Rusmin

No comments:

Post a Comment