Friday, 21 December 2012

Kegembiraan kembali ke sekolah


penerima manfaat yang terdiri daripada pelajar sekolah ini gembira dengan kelengkapan persekolahan masing-masing.

CUTI panjang persekolahan semakin sampai ke penghujung, sekali gus menandakan sesi persekolahan 2013 akan bermula tidak lama lagi. Sudah pastinya, memulakan sesi persekolahan baru adalah detik paling ditunggu-tunggu setiap yang ingin menempuhi alam persekolahan, tidak kira ini adalah tahun pertama mahupun meneruskan persekolahan baru.

Pada hari yang ditunggu-tunggu itu, mereka teruja untuk menyarung pakaian serba baru dan merupakan satu pengalaman yang menggembirakan bagi ibu bapa apabila melihat perubahan fizikal anak-anak.
Lantaran itu, persiapan ke sekolah telah bermula sedikit demi sedikit agar tidak menunggu saat akhir. Lazimnya persiapan persekolahan memerlukan sejumlah perbelanjaan yang besar, apatah lagi bagi yang mempunyai ramai anak bersekolah. 

Pada masa yang sama, ibu bapa perlu bijak merancang perbelanjaan.
Bagi mereka yang mempunyai kemampuan, penyediaan kelengkapan persekolahan anak-anak pasti bukan satu masalah. Situasi ini berbeza dengan golongan yang kurang berkemampuan, pastinya golongan ini akan merasa sedikit gusar dalam menempuhi bulan terakhir 2012. Ada yang beranggapan ini merupakan mimpi ngeri yang terpaksa dilalui setiap tahun.

Rata-rata mereka dibelenggu dengan kepayahan hidup dan kesusahan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka yang kebanyakannya mempunyai anak yang ramai untuk memulakan sesi persekolahan. 

Mereka terpaksa akur dengan situasi ini walaupun sudah puas berusaha, memandangkan kos yang terpaksa ditanggung bukan sedikit. Lantaran itu, golongan ini terpaksa mengharapkan bantuan daripada pihak yang prihatin bagi membolehkan sesi persekolahan ini dapat dilalui dengan sedikit keselesaan.


Ringankan beban

Melihat akan situasi ini, demi merealisasikan matlamat untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan, pihak Islamic Aid Malaysia (IAM) terus menghulurkan bantuan bagi membantu mereka.

Program kemanusiaan yang bertemakan program 'Kembali Ke Sekolah' merupakan antara program komuniti bagi membantu pelajar-pelajar di kalangan mereka yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan pembiayaan persediaan untuk kembali ke sekolah.

Program ini memberi fokus kepada anak-anak yatim miskin dan anak-anak golongan fakir miskin di kawasan luar bandar. Penyediaan kelengkapan persekolahan ini merangkumi uniform sekolah, kasut, beg sekolah dan juga alat tulis.

IAM bersama-sama rakan kemanusiaannya iaitu Etiqa Takaful Berhad telah menyediakan kelengkapan persekolahan sebelum bermulanya sesi persekolahan 2013. Program ini telah diwujudkan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah bagi menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak mereka.

Ia telah memberi manfaat kepada lebih 1,000 orang pelajar peringkat sekolah rendah dalam persediaan untuk memasuki sesi persekolahan 2013. Manakala sebanyak lima siri penjelajahan telah dilaksanakan bermula hujung November lalu sehingga Disember. Ia melibatkan kunjungan ke Pahang, Perak, Kedah, Kelantan dan Johor bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa Takaful Berhad kepada mereka yang benar-benar memerlukan. 

Credit FAROUQ ZAUJI





No comments:

Post a Comment