Saturday 22 December 2012

Guna jari ukur kasut


PERSEDIAAN awal membeli peralatan sekolah penting untuk mengelakkan ibu bapa berasa tertekan ketika anak kembali memulakan sesi persekolahan yang baru.

Kasut, baju, beg, alat tulis dan buku semuanya perlu dimasukkan ke dalam senarai agar tiada keperluan penting yang tercicir. 

Namun, antara semua barangan yang disenaraikan, kasut sekolah sememangnya paling penting untuk diambil perhatian bagi mendapatkan keselesaan berpanjangan.

Ini kerana masalah pemilihan kasut sekolah kini masih membelenggu ibu bapa apabila dikaitkan dengan soal saiz kaki anak-anak. 

Menurut Pengurus Kanan Bata Marketing Sdn Bhd (Bata), Datuk James Selvaraj, ibu bapa biasanya akan menghadapi masalah untuk mengenal pasti saiz sesuai untuk anak mereka.

“Ramai ibu bapa yang masih keliru dalam memilih saiz kasut sekolah sebenar anak dan ada antaranya mengambil mudah.

“Kadangkala mereka mengambil kasut yang lebih besar daripada saiz kaki sebenar supaya ia boleh dipakai lama kerana tanggapan proses pembesaran anak berlaku dengan cepat.

“Ini membuatkan anak berasa tidak selesa untuk bergerak. Sebaiknya ketika membeli kasut, cuba masukkan satu jari di bahagian belakang kaki untuk memastikan ia tidak terlalu ketat atau longgar,” katanya mengenai panduan yang boleh digunakan ketika membeli kasut sekolah.

Satu jari yang digunakan sudah cukup untuk memastikan anak dapat bergerak dengan aktif berbanding menggunakan dua jari atau saiz lebih besar yang sememangnya tidak digalakkan.

Untuk memastikan kasut yang dibeli boleh dipakai lama, sebaiknya sediakan dua pasang agar boleh ditukar ganti selain tidak mudah rosak apabila sering digunakan.

Selain itu, material sesuai yang digunakan seperti kanvas dan PVC juga bertujuan memberi keselesaan ketika dipakai, mudah dibasuh dan lebih tahan lama.

Rekaan yang mengikut trend terkini sama ada moden atau klasik menonjolkan potongan yang tidak keterlaluan sekali gus menjadikannya sesuai dipakai oleh pelajar sekolah agar tidak melanggar etika pakaian ditetapkan. 

Credit: Hajahfarhana Tarmudi

No comments:

Post a Comment