Friday, 21 December 2012

Didikan agama benteng elak gejala sosial


BAGI membantu meningkatkan usaha membentuk generasi muda yang mengerjakan solat dan berperibadi mulia, Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan Program Smart Solat dan Smart Tahfiz di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM baru-baru ini.

Setiausaha program, Ustaz Abbyd Zainal Abidin berkata, generasi muda yang berusia antara enam hingga 15 tahun perlu diberi didikan agama secukupnya supaya tidak mudah terpengaruh dengan perbuatan yang tidak baik.

''Hal ini sekali gus membantu membentuk benteng pertahanan dalam diri mereka bagi menangkis gejala negatif'', katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Program itu disertai 100 pelajar dengan bayaran penyertaan dikenakan sebanyak RM50 bagi anak kakitangan dan RM100 untuk peserta lain.

Menurut beliau, pelbagai pengisian aktiviti dalam program itu dengan penekanan kepada aspek mengerjakan solat dengan betul, hafalan surah-surah lazim, perkara asas fardu ain dan penerapan akhlak terpuji di kalangan peserta.

''Di samping itu, peserta turut didedahkan dengan program musabaqah dan tilawah al-Quran dan penerapan kecintaan kepada Rasulullah SAW," katanya.

Peserta turut diajar kursus solat intensif iaitu teori dan praktikal, motivasi anak soleh dan pembangunan insan, menghafaz doa harian serta aktiviti keagamaan yang lain.

Beliau berharap kursus Smart Solat itu dapat memberi banyak ilmu berguna yang akan membentuk peserta ke arah sahsiah yang tinggi dan berperibadi mulia.

Jelasnya, inisiatif itu juga selaras dengan fungsi masjid sebagai tempat perkembangan ilmu di samping memupuk sifat cintakan masjid di kalangan kanak-kanak.

''Kita harap selepas selesai menyertai program ini, pelajar dapat mempraktikkan ilmu yang diperoleh dengan sempurna seterusnya mampu melahirkan generasi muda yang cintakan masjid dan berakhlak mulia,'' katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengharapkan penglibatan yang lebih aktif serta komitmen berterusan ibu bapa dan guru bagi menjayakan pelaksanaan kursus Smart Solat pada masa depan.

No comments:

Post a Comment