Tuesday 18 December 2012

Kena denda bawa motosikal ala Superman


Petaling Jaya: Seorang mekanik dan lima remaja lelaki yang menunjukkan aksi lagak ngeri dengan menunggang motosikal ala Superman, masing-masing didenda RM500 dan RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, selepas mengaku salah atas tuduhan itu. 

Majistret Mohd Hezri Shaharin menjatuhkan hukuman denda RM600 terhadap Mohamad Fakrul Akimie Alia, 19, manakala lima remaja bawah umur yang lain masing-masing didenda RM500. 
Mohd Hezri turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara lima hari jika gagal membayar denda. 



Aksi zig-zag

Mereka dituduh menunggang motosikal jenis Honda EX5 secara bahaya, gopoh dengan melulu dan melakukan aksi zig-zag ala Superman yang boleh membawa bencana kepada orang lain. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Besraya di Kilometer 0.8 dari arah Putrajaya, di sini, jam 4.16 pagi 8 Disember lalu. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 
Terdahulu, Mohamad Fakrul merayu hukuman dikurangkan kerana dia sudah insaf dan berjanji tidak mengulanginya.
Credit: Berita Harian

No comments:

Post a Comment