Saturday, 22 December 2012

Tempelak Allah kepada pendusta


DALAM ayat-ayat yang terdahulu Allah SWT menyebut nikmat yang akan dikurniakan kepada orang yang berbuat baik. Pada ayat-ayat yang berikutnya, Allah SWT menyebut pula keadaan orang yang suka melakukan dosa.

Pada hari itu mereka disuruh berpisah dan dijauhkan seseorang itu daripada yang lain. Jadi, mereka memperoleh dua azab iaitu; azab api neraka dan azab diasingkan daripada orang lain. Sesungguhnya tidak ada azab lain yang lebih pedih daripada azab ini.

Dia kemudiannya menyebut sebenarnya mereka telah diberi peluang untuk menyelamatkan diri daripada dikenakan azab, melalui perutusan para rasul.

Seterusnya disebut pula, bahawa kesudahan orang kafir adalah neraka Jahanam dan kekal selama-lamanya di situ. Pada hari itu mereka tidak dapat berbicara walau sepatah pun kecuali anggota lain yang telah menjadi saksi atas segala perbuatan mereka.

Kemudian Allah SWT menyebut dengan rahmat-Nya, Dia tidak akan menghukum mereka di dunia dengan hukuman yang berat. Sebenarnya Allah SWT berkuasa memusnahkan penglihatan mereka, jika dia menghendaki, sehingga mereka tidak mampu lagi melihat. Allah SWT juga mampu mengubah rupa mereka menjadi babi atau kera, sehingga mereka tidak mampu lagi berbangga dengan rupa paras mereka itu.

Kemudian Allah SWT menolak alasan mereka yang mengatakan: Kami diberi umur yang sangat pendek dan sekiranya umur kami panjang sudah tentu kami akan melakukan kebaikan mengikut kebenaran. Penolakan Allah SWT ini kerana jika mereka diberikan umur panjang pun, mereka masih enggan melakukan kebaikan. (rujuk al-Fatir: 37)

Firman Allah SWT: Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (daripada bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman). (Yasin: 59)

Ibnu Kathir berkata: Allah menjelaskan kedudukan orang kafir dengan perkataan Imtaz sebagai gambaran tempelak.

Al-Qurtubi berkata: Golongan ini akan berbeza antara satu sama lain, kemudian beliau menukilkan beberapa pendapat antaranya:
Qatadah berkata: Mereka dibuang daripada segala kebaikan.

Ad-Dhahak berkata: Golongan penderhaka berbeza dengan sebahagian yang lain iaitu golongan yahudi satu puak, nasrani satu puak, majusi satu puak, penyembah berhala puak yang lain dan lain-lain.

Al-Maraghi berkata: Berpisahlah kamu dan masuklah ke tempat tinggal kamu di dalam neraka, bermula saat ini kamu tidak lagi boleh bergaul dengan kaum mukminin buat selama-lamanya. Ketika mereka diperintahkan agar berpisah (dengan orang yang beriman), tiba-tiba wajah mereka menjadi kehitaman kerana terlampau sedih manakala mereka pun tertunduk.

Firman Allah SWT: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! (Yasin: 60)
Perkataan 'ah' di sini seperti yang disebut oleh al-Qurtubi sebagai wasiat iaitu tidakkah Aku wasiatkan kamu dan sampaikan kamu mengikut lidah Rasul-rasul supaya tidak mengikuti syaitan dalam menderhakai Aku.

Al-Maraghi berkata: Bukankah telah aku berpesan melalui bukti yang aku tunjukkan di hadapan mata kamu dengan akal yang Aku berikan kepada kamu menerusi rasul-rasul-Ku dan kitab-kitab yang aku turunkan sebagai petunjuk agar kamu menuju ke jalan keselamatan? Oleh itu, janganlah kamu menurut kemahuan serta langkah syaitan untuk menentang dan menderhakai-Ku.

Firman Allah SWT: Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. (Yasin: 61)

Ibnu Kathir berkata: iaitu jalan yang lurus di mana kebanyakan kamu memilih jalan yang lain, seperti mengikut jalan yang diperintahkan oleh syaitan.

Al-Maraghi berkata: Aku melarang terhadap kamu agar jangan mengikuti syaitan dan Aku perintahkan agar kamu menyembah-Ku, Allah Yang Maha Rahman kerana ia akan membawamu ke jalan yang lurus. Namun kamu masih memilih jalan itu sehingga kamu tersesat dan terjerumus ke lembah kebinasaan.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu, (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yasin: 62)

Ibnu Kathir berkata: Dimaksudkan dengan banyak makhluk inilah pendapat Qatadah, al-Suddi, Mujahid, Sufyan bin Uyainah, sedangkan mengikut pendapat al-Kalbi umat yang ramai.

Al-Maraghi berkata: Syaitan menghalang sebahagian besar antara kamu mematuhi-Ku mengesakan-Ku sebagai tuhan, sehingga mereka menyekutukan Aku dengan sembahan-sembahan yang lain.

Firman Allah SWT: Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahanam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taat perintah Allah). (Yasin: 63)

Penjaga neraka berkata kepada ahli neraka, inilah neraka jahanam yang dijanjikan kepada kamu sedangkan kamu ingkar.

Ibnu Kathir berkata: Dikatakan kepada orang kafir di kalangan Bani Adam pada hari kiamat neraka Jahim dipamerkan kepada mereka sebagai celaan dan kehinaan.

Al-Maraghi berkata: Inilah api Neraka Jahanam yang dahulu pernah Aku janjikan kepada kamu dan yang disampaikan oleh Rasul-Ku, jika kamu masih mengikut langkah syaitan dan tidak mematuhi peraturan-Ku.

Firman Allah SWT: Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan! (Yasin: 64)

Al-Maraghi berkata: Masuklah ke dalam neraka, agar kamu dapat merasakan betapa panas bakarnya yang dahsyat kerana dahulu kamu mengingkarinya.

Inilah balasan akibat derhaka kepada Allah tanpa bertaubat dan kembali kepada-Nya, di mana masuk di dalam neraka merupakan kehinaan yang abadi. Semoga Allah memelihara kita daripada seksaan api neraka, Amin.

Firman Allah SWT: Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Yasin: 65)

Ibnu Kathir berkata: Inilah gambaran keadaan orang kafir dan orang munafik pada hari kiamat akibat di dunia dahulu mereka mengingkari perintah Allah dengan perilaku yang buruk. Mereka sanggup bersumpah dengan apa yang mereka lakukan. Lantas balasannya Allah pateri mulut mereka sedangkan anggota tubuh badan mereka yang menjadi juru bicara dan saksi atas apa yang mereka kerjakan.

Al-Maraghi berkata: Pada hari itu, orang kafir mengingkari kejahatan semasa hidup di dunia dan mereka berani bersumpah mereka tidak pernah melakukan perkara itu. Allah menutup mulut mereka sehingga mereka tidak boleh bercakap sepatah pun. Kemudian disuruh pula anggota badan mereka berbicara setiap perbuatan yang pernah mereka lakukan.

No comments:

Post a Comment