Friday 28 December 2012

SOP pelancongan Islam


KONSEP pelancongan Islam mula berkembang sebagai satu daripada produk pelancongan di Malaysia selepas insiden serangan 9 September 2001 terhadap bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York yang lebih dikenali sebagai tragedi 911.

Selain kehancuran WTC sebagai sebuah mercu tanda terkemuka di New York, tragedi 911 meninggalkan kesan fenomena Islamophobia di kalangan penduduk Eropah hingga memberi impak negatif terhadap keselamatan orang Islam yang tinggal atau berkunjung ke mana-mana negara Eropah. 

Sebelum insiden berkenaan tercetus kebanyakan penduduk Timur Tengah yang berketurunan Arab khususnya berasal dari Negara Teluk gemar menghabiskan percutian musim panas di negara Eropah. 

Namun, akibat dasar kurang mesra terhadap pelancong Islam yang dilaksanakan oleh negara Barat, maka perhatian pelancong Timur Tengah beralih kepada negara Asia Tenggara seperti Indonesia dan Malaysia sebagai destinasi percutian mereka. 

Dalam konteks ini, Malaysia dilihat memiliki pelbagai kelebihan yang membolehkannya berperanan sebagai pelopor industri pelancongan Islam. 

Salah satu petunjuk yang menyokong pendapat ini ialah kedudukan Malaysia dalam 10 negara teratas yang menerima kedatangan pelancong teramai di dunia pada 2011.

Keadaan ini dibantu oleh faktor penarik yang dimiliki Malaysia iaitu kekayaan khazanah warisan masyarakat majmuk serta alam semula jadi indah serta masih terpelihara. 

Kestabilan politik serta kurangnya kerenah birokrasi dalam urusan imigresen dan kastam membuka hati pelancong asing untuk bertandang ke Malaysia tanpa sebarang rasa bimbang dan ragu.

Bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelancongan Islam pilihan utama maka sejak 2009 Malaysia mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Pusat Pelancongan Islam (ITC). ITC yang didaftarkan sebagai sebuah syarikat jaminan terhad di bawah Kementerian Pelancongan pada masa ini berfungsi sebagai sebuah organisasi yang merangka sistem dan panduan untuk diguna pakai oleh syarikat mengendalikan pelancongan Islam.

Justeru, pengwujudan sebuah standard prosedur operasi (SOP) yang patuh syariah serta bertaraf antarabangsa penting agar dapat diamalkan oleh syarikat pelancongan tempatan.

Untuk mencapai objektif ini, satu kolaborasi antara tokoh agama dan profesional Muslim daripada pelbagai bidang amat diperlukan supaya dimensi yang tepat dizahirkan dalam penyediaan SOP berkenaan.

Kedua-dua kelompok ini disarankan agar mengadakan proses kajian dan pembangunan (R&D) berhubung penerapan nilai halal dalam perkhidmatan hospitaliti yang selama ini berorientasikan Barat.

Ciri-ciri asas perkhidmatan pelancongan Islam merangkumi penyediaan makanan halal dan tempat tinggal yang peka kepada keperluan ibadah solat.

Andainya SOP yang diharapkan itu mampu mengambil kira aspek asas ini, maka ia sudah memadai pada peringkat permulaan ini untuk meletakkan satu dasar yang jelas dalam pelaksanaan pelancongan Islam supaya tiada pihak mempertikaikan status halal dalam penyediaan produk pelancongan Islam.

Memandangkan pelancongan Islam sememangnya relevan dengan suasana Malaysia yang dikenali sebagai sebuah negara Islam berfahaman sederhana, usahawan Bumiputera wajar merebut peluang menyertai industri ini.

Sepatutnya orang Melayu tidak mempunyai masalah yang besar dalam mengendalikan pelancongan Islam kerana mereka lebih memahami keperluan syariah dan adab Muslim.

Cuma masalah utama yang mungkin dihadapi usahawan Bumiputera untuk menjalankan perniagaan pelancongan ialah ketiadaan dana yang mencukupi serta kekurangan ilmu pengetahuan.

Tidak dapat dinafikan bahawa bilangan syarikat agensi pelancongan Bumiputera yang pada masa ini berjumlah 1,566 (sehingga September 2012) adalah lebih banyak berbanding tempoh 20 tahun lalu. Bagaimanapun, ia perlu disusuli dengan pemantapan jaringan perniagaan di kalangan usahawan Bumiputera dalam bidang pelancongan.

Dalam hal ini, pengendali pelancongan Islam di kalangan orang Melayu perlu memperkemaskan rantaian bekalan (supply chain) yang mencakupi pengedaran bahan makanan halal serta kemudahan pengangkutan sewajarnya dikendalikan oleh kumpulan usahawan Bumiputera.

Fungsi NGO seperti Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra) adalah diperlukan supaya dapat menggerakkan program mentor-mentee dalam kalangan ahlinya. 

Menerusi program berkenaan, syarikat pelancongan Bumiputera yang menempa kejayaan dalam industri itu boleh memperturunkan pengalaman kepada syarikat yang masih di tahap ‘junior’ terutama dalam aspek pengurusan kewangan syarikat dan sumber manusia.

Hal ini penting bagi menjamin industri pelancongan Islam benar-benar diterajui oleh usahawan Bumiputera yang berwibawa.

Pelancongan Islam di bumi Malaysia akan berkembang lebih pesat jika usahawan Bumiputera sentiasa mengambil pendekatan kreatif dan inovatif dalam strategi perniagaan mereka. 

Sebagai contoh sekiranya industri pelancongan Islam Malaysia menyasarkan pelancong dari Timur Tengah, maka pengusaha pelancongan Bumiputera perlu bijak mewujudkan pakej percutian yang menggunakan khidmat pemandu pelancong yang fasih berbahasa Arab.

Perkara ini dirasakan bukan masalah besar kerana mana-mana syarikat pelancongan boleh menggunakan khidmat lepasan universiti Timur Tengah yang pastinya mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab. 

Selain itu, jadual pakej berkenaan akan lebih menarik jika menyelitkan program kebudayaan seperti nasyid dan marhaban yang sememangnya ada kaitan dengan budaya Arab.

Hasrat Malaysia ke arah menjadi hab pelancongan Islam terkemuka akan lebih berkesan apabila satu pelan perancangan strategik yang merangkumi tempoh jangka panjang dan pendek diwujudkan oleh Kementerian Pelancongan dan ITC. 

Adalah juga diharapkan pucuk pimpinan negara dapat mempertimbangkan industri pelancongan Islam sebagai salah satu bidang keberhasilan utama (NKRA) agar ia mampu menjana pertumbuhan pendapatan negara lebih tinggi.

Crerdit: Muhammad Nizam Abd Ghani

No comments:

Post a Comment