Google+ Followers

Saturday, 9 March 2013

Polis Semporna Tahan 33 Suspek Pengganas Sulu



Anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) keluar dari kawasan kampung selepas mengadakan pemeriksaan di beberapa rumah di Kampung Pinggir Bakau bagi mengesan saki baki pengganas di sini, Ahad. Dalam kejadian 2 Mac lepas, enam anggota polis maut dalam serangan penceroboh di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna. -fotoBERNAMA 





SEMPORNA: Polis menahan 33 suspek yang dipercayai terlibat secara langsung dengan pengganas Sulu dan turut disyaki menyalurkan maklumat keselamatan kepada mereka.
Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata kesemua suspek yang ditahan di kampung pinggir bakau di sini merupakan warga asing dan mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu untuk soal siasat.
"Mereka dihantar ke IPD Lahad Datu untuk soal siasat kerana ia berkaitan dengan Op Daulat," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata operasi yang bermula pada 6.30 pagi dan berakhir pada 9 pagi memfokuskan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan turut menahan empat suspek wanita.
Katanya, kesemua suspek yang berusia 18 tahun ke atas itu, disiasat kerana dipercayai mempunyai kaitan dan melindungi pengganas Sulu.
Tinjauan Bernama ke lokasi operasi mendapati kira-kira 100 anggota polis dari IPD Semporna, VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am melakukan pemeriksaan ke setiap rumah bagi mencari dan mengesan suspek pengganas Sulu.


Op Daulat yang dilancar bagi memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu masuk hari keenam hari ini dengan 53 penceroboh militan dilaporkan ditembak mati.
Sejak pencerobohan militan pada 12 Feb lepas, lapan anggota polis terkorban iaitu dua maut dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Simunul di sini sehari kemudian. BERNAMA