Thursday 7 March 2013

PERTEMPURAN SENGIT DI LAHAD DATU


Lahad Datu: Seramai 31 pengganas Sulu kecundang di tangan pasukan keselamatan negara, semalam dan seorang ditembak mati kelmarin di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dalam operasi jam 4.15 petang kelmarin, pasukan keselamatan yang menjejaki saki-baki pengganas ditembak di tiga lokasi berasingan di Kampung Tanduo.

“Selepas berbalas tembakan, seorang pengganas ditembak mati manakala yang lain melarikan diri dalam hutan,” katanya dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di sini, petang semalam.
Menurutnya, operasi kemudian diteruskan di Kampung Tanjung Batu yang terletak bersebelahan dan kira-kira jam 11.30 pagi semalam berlaku pertempuran sengit sebelum 31 pengganas termasuk seorang ketua mereka berpangkat jeneral tumpas.

“Sehingga kini, operasi masih diteruskan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu. “Tumpuan lebih di Kampung Tanjung Batu kerana dipercayai saki-baki kumpulan itu melarikan diri di situ.

“Kampung itu juga merangkumi kawasan seluas antara empat dan lima kilometer manakala operasi akan mengambil masa, tetapi diteruskan sehingga semua pengganas terbabit menyerah diri,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya percaya saki-baki pengganas masih bersembunyi di dua kampung berkenaan.

Sementara itu, Zulkifeli berkata, setakat ini 52 pengganas ditembak mati sejak 1 Mac lalu termasuk tujuh di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabtu lalu.
“Saya mengarahkan semua anggota berhati-hati ketika menjalankan operasi dan setakat ini tiada kematian atau kecederaan baru anggota dilaporkan.

“Operasi ini akan mengambil masa sedikit dan kita sedang berusaha untuk mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga tidak mengetahui ada atau tidak pengganas yang tercedera dalam serangan yang dilakukan itu.

“Kita juga tidak mengetahui jumlah sebenar pengganas terbabit tetapi kita tahu ada sejumlah lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment