Thursday 7 March 2013

Hanya ingat mati ketika pengganas tiba



Lahad Datu: “Saya dengar orang menjerit ‘mati kita bah, mereka sudah datang, lari cepat’ menyebabkan saya panik lalu masuk ke dalam rumah dan terus membawa anak dan isteri melarikan melarikan diri tanpa sempat mengambil pakaian atau barangan kerana ketakutan.
“Ketika itu saya hanya ingat akan mati kerana takut mereka berjaya menangkap dan membunuh kami sekeluarga,” kata Sarih Kabir, 26, menceritakan pengalamannya ketika pengganas Sulu memasuki Kampung Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu di sini, Ahad lalu.

Menurutnya, ketika itu dia yang berada di dalam rumah, terkejut mendengar jeritan orang ramai memberitahu kampung mereka diserang pengganas.
“Saya keluar dari rumah dan mendapati suasana kelam kabut dengan penduduk kampung melarikan diri sambil membawa beg pakaian,” katanya yang ditemui di Dewan Serbaguna Embara Budi, dekat sini, yang menjadi tempat perlindungan sementara penduduk tiga kampung.

“Bagaimanapun, kami bernasib baik kerana terselamat dan saya harap pengganas itu berjaya ditumpaskan,” katanya yang bersesak empat beranak bersama kira-kira 600 penduduk di dewan berkenaan.

Menurut Sarih, dia dan penduduk tiga kampung yang berlindung di dewan berkenaan, berharap pihak yang berkenaan menempatkan mereka di tempat lebih selesa kerana 600 orang terpaksa bersesak dalam dewan berkenaan sejak Jumaat lalu, berikutan operasi pasukan keselamatan memburu pengganas.
“Kami tinggal di dalam dewan ini ibarat sardin dalam tin kerana terpaksa berhimpit dengan penduduk lain yang berpindah ke sini selepas operasi,” katanya.

Menurutnya, dia tiada pilihan dan terpaksa tinggal di dalam dewan itu bersama isteri dan dua anak buat sementara waktu kerana bimbang dengan keselamatan.
“Sudah lima hari kami tinggal di sini dan tidak berani ke mana-mana kerana takut terserempak dengan pengganas,” katanya.

Beliau seperti penduduk lain juga berharap pihak berkuasa memberi bantuan pakaian kerana sebahagian besar penduduk meninggalkan rumah tergesa-gesa tanpa sempat membawa pakaian atau makanan.

“Pakaian kami tidak bertukar kerana ketika Kampung Tanjung Batu diserang pengganas, kami yang ketakutan terus melarikan diri tanpa sempat membawa pakaian,” katanya.

No comments:

Post a Comment