Google+ Followers

Sunday, 10 March 2013

PELARIAN FILIPINA DAKWA POLIS MALAYSIA KEJAM


ZAMBOANGA 10 Mac - Seorang rakyat Filipina yang melarikan diri dari Sabah ketika pencerobohan pengikut Jamalul Kiram mendakwa polis Malaysia bertindak kejam ketika melancarkan operasi besar-besaran memburu kumpulan pengganas tersebut.

Agensi berita Filipina, Inquirer melaporkan Amira Taradji, 44, mendakwa polis Malaysia memaksa lelaki-lelaki warga Filipina berlari sekuat hati, sebelum menembak mereka ketika menyerbu kumpulan pengganas itu di Sandakan, Sabah.

''Antara yang terbunuh dalam serbuan itu pada awal minggu ini adalah abang saya, Jumadil,'' dakwanya kelmarin.

Taradji yang berasal dari Calinan, Davao City merupakan antara 400 rakyat Filipina yang melarikan diri dari Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kunak di Sabah ke Sulu ketika pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serbuan tersebut.

Wanita itu mendakwa serbuan itu sangat teruk buat rakyat Filipina dan kaum Suluk.

''Beberapa lelaki yang menunjukkan dokumen imigresen telah ditembak mati,'' dakwanya, memetik cerita warga Filipina lain yang melarikan diri bersamanya dari Sabah.

Taradji mendakwa mereka yang ditangkap pula tidak diberi makanan.

Beliau yang tinggal di Sandakan sejak berumur enam tahun dan memiliki kad pengenalan MyKad Malaysia berkata, mereka meninggalkan rumah di Sandakan apabila serbuan polis bermula pada awal minggu ini.

Seorang lagi warga Filipina, Carla Manlaw, 47, berkata, kebimbangan tinggi terhadap polis Malaysia menyebabkan dia dan keluarganya melarikan diri ke Bongao, Tawi-Tawi.

Dia bersama 99 warga Filipina lain yang menaiki dua buah bot ditahan ketika memasuki perairan Filipina dari Sandakan.

''Ramai yang melarikan diri bersama saya bimbang ditahan polis Malaysia,'' katanya. - AGENSI