Wednesday 6 March 2013

Islam haramkan pencerobohan


Konsep asas Islam ialah sejahtera, aman dan damai, sebagaimana maksud perkataan itu sendiri yang berasal daripada 'salam'. Jadi, orang Islam ialah orang yang membawa kesejahteraan, bukan mengancam orang lain.
Namun, ada segelintir yang bertindak menyalahi konsep berkenaan dengan mengganggu gugat ketenteraman dan merosak harta awam, membuat kacau, mengugut orang, mencuri dan merompak.

Sekiranya anda perhatikan senario di sekeliling banyak lagi angkara yang berlaku, bukan setakat meragut harta orang dengan sewenang-wenangnya, bahkan sampai mencederakan dan membunuh orang. Malah, perkembangan semasa yang menggemparkan dan menarik perhatian umum ketika ini ialah berkenaan pencerobohan pihak tertentu di beberapa kawasan di Sabah. Apa yang dikesalkan kumpulan terbabit juga dilaporkan sebagai orang Islam.
Jika anda lihat, banyak penegasan di dalam al-Quran yang melarang pencerobohan, antaranya: “...dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid al-Haram itu mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). (Surah al-Maidah, ayat 2) Rasulullah SAW juga mengharamkan pencerobohan, seperti melalui hadis daripada Abu Hurairah RA, katanya Nabi SAW bersabda (maksudnya): “Setiap Muslim ke atas Muslim yang lain adalah diharamkan darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Riwayat Muslim) Cukuplah dalil berkenaan sebagai penjelasan bahawa tidak boleh bagi Muslim melakukan sebarang bentuk pencerobohan terhadap orang lain, lebih-lebih lagi sesama Muslim, sama ada dari sudut maruah diri, harta benda mahupun nyawa.

Jadi, bagaimana seorang yang mengaku Muslim, bahkan mendambakan Islam agama terbaik serta berikrar bersaudara dengan orang Islam lain, tetapi pada waktu sama menceroboh hak saudara seagama? Barangkali ada yang menjawab, mereka bukan Muslim sejati atau mereka yang tidak sempurna Islamnya.

Tiada salahnya jawapan itu kerana sebenar-benar Muslim ialah selain daripada menunaikan rukun agama sedaya upaya, mereka tidak sekali-kali melakukan sebarang angkara dan pencerobohan terhadap orang tidak mengganggu keselamatannya, sama ada dengan lidahnya atau dengan tangannya atau pun dengan apa jua.
Hal ini sesuai dengan penjelasan Rasulullah SAW melalui hadis daripada Abdullah bin Amr RA bermaksud: “Seseorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah yang terselamat orang-orang Islam dari lidahnya dan tangannya.” (Riwayat Muslim) Amat malanglah bagi orang yang suka membuat angkara, tidak henti-henti membuat aniaya dan menyakiti orang Islam lain, malah memerangi orang Islam tanpa hak demi sebuah cita-cita menggunung berpaksikan kerakusan. Rasulullah SAW ada memberi amaran kepada golongan sedemikian melalui sabdanya yang bermaksud: “Siapa yang menyakiti seorang Muslim tanpa hak, maka dia seolah-olah telah merobohkan rumah Allah.” (Riwayat Tabrani) Orang yang suka membuat angkara dan menceroboh barangkali berasa bangga dan gah dengan kekuatan dan kehebatan dimiliki, namun mereka lupa yang paling hebat dan berkuasa adalah Allah.

Tuhan juga ada memberi peringatan: “Jangan kamu berjalan di bumi ini dengan sombong, sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembusi bumi dan tidak akan sampai setinggi gunung.” (Surah al-Isra, ayat 37) Sebenarnya orang suka membuat angkara dan menceroboh sangat dimurkai Allah seperti diterangkan Said Hawwa dalam karyanya berjudul ‘Orang-orang Yang Dibenci Allah’, yang kemudian memetik ayat 190, daripada surah al-Baqarah, maksudnya: “Dan perangilah kerana agama Allah akan orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh.” Kemudian, mereka yang diceroboh dan dizalimi pula, apakah harus mendiamkan diri dan membiarkan sahaja ia berlaku atau sebaliknya? Dalam hal ini tentulah menjadi kemestian memelihara, melindungi dan mempertahankan hak.
Bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Abdul Monir Yaacob dalam tulisannya pernah berkata, mempertahankan (hak) adalah maslahah atau kebaikan bagi manusia.

Menurutnya, bagi menjamin daripada pencerobohan ke atas hak berkenaan, beberapa kaedah diadakan seperti ‘sad al-zaraie’ iaitu suatu kaedah bagi jaminan dan perlindungan yang diberi oleh perundangan syariat. Katanya, dalam memperkukuhkan jaminan ini diadakan hukuman ke atas mereka yang menceroboh hak berkenaan.

Hukum syarak katanya, menentukan hukuman yang berat ke atas mereka yang melanggar hak asasi manusia, sebagai contoh apabila berlaku pencerobohan ke atas diri dan nyawa hukuman qisas (balas bunuh) boleh dijatuhkan. Begitu juga katanya, apabila pencerobohan berlaku ke atas kehormatan seseorang dan harta benda, hukuman 'hadd' boleh dikenakan. Demikian betapa pencerobohan dan pelanggaran hak dalam Islam adalah suatu yang dilarang sama sekali. Mereka yang melakukannya berdepan hukuman berat dan jika tidak mahu menerima padahnya, jangan sesekali cuba melakukannya.

Penulis Penolong Pengarang di Unit Rencana Harian Metro

No comments:

Post a Comment