Monday 14 January 2013

TUNJUK PERASAAN MENENTANG HOMOSEKSUAL


Bantah perkahwinan sejenis

Sebahagian daripada penunjuk perasaan berarak dalam satu demonstrasi 
menentang perkahwinan sejenis di Paris, semalam. - REUTERS

PARIS 13 Jan. - Beratus ribu penduduk berarak di Paris hari ini bagi membantah rancangan pelaksanaan rang undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis di Perancis.

Lima buah kereta api laju, 900 buah bas dan sejumlah kereta memasuki Paris dengan membawa penunjuk perasaan bagi membantah pelaksanaan penggubalan undang-undang tersebut oleh Presiden, Francois Hollande menjelang Jun ini.

Penunjuk perasaan yang disokong gereja Katholik dan terdiri daripada anggota parti politik konservatif, pergerakan Islam dan penduduk menentang perkahwinan sejenis berkenaan berkumpul di Menara Eiffel pada lewat petang ini.

Mereka berarak dalam cuaca sejuk bagi membantah penggubalan undang-undang itu yang dijanjikan Hollande dalam kempen pilihan raya Presiden dan dijangka diluluskan dengan mudah kerana partinya mempunyai kuasa majoriti di Parlimen.

Penganjur demonstrasi bantahan itu, Particia Soullier berkata, pihaknya mahu draf undang-undang itu dibatalkan.

Presiden Perancis itu menimbulkan kemarahan banyak pihak apabila cuba melaksanakan penggubalan undang-undang tersebut di Parlimen tanpa melakukan pungutan suara dan tidak memberikan maklumat terperinci mengenai rang undang-undang berkenaan.

Cara Hollande menunaikan janji kempennya yang lain turut membangkitkan kemarahan rakyat termasuk pelaksanaan cukai 75 peratus ke atas penduduk kaya dan kaedahnya menangani peningkatan pengangguran.

Penganjuran demonstrasi besar-besaran tersebut tidak akan membantu meningkatkan imej Presiden Perancis tersebut.

Sokongan terhadap perkahwinan sejenis menurun kira-kira 10 mata kepada 55 peratus dalam satu tinjauan pendapat dan kurang daripada separuh rakyat Perancis kini mahu pasangan homoseksual mendapat hak mengambil anak angkat.

Ini bukan kali pertama perarakan membantah perkahwinan sejenis di adakan di Paris apabila pada 18 November lalu menyaksikan seramai 100,000 penunjuk perasaan berhimpun atas tujuan yang sama.

Tunjuk perasaan itu diadakan selepas kerajaan Perancis di bawah pimpinan Parti Sosialis merangka usul untuk membenarkan perkahwinan membabitkan golongan gay dan pengambilan anak angkat pada 7 November lalu. 

Credit:  REUTERS

1 comment: