Monday 14 January 2013

Idola bidang linguistik


Foto

Minat Nik Safiah dalam bidang bahasa dan sastera tidak pernah padam 

Minat dan sumbangan penerima Anugerah Cemerlang Tan Sri Fatimah-Avon sebagai ibu ilmuan, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, tidak pernah padam. Semangat itu bersarang dan berkobar-kobar dalam dirinya untuk terus memperjuang mendaulatkan bahasa serta sastera meskipun sudah menginjak usia emas. 


Tidak terhenti di situ, komitmen yang begitu tinggi selayaknya beliau diberi pelbagai pengiktirafan antaranya, Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah (2001), Wanita Cemerlang sempena perayaan 50 Tahun Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah (1997) dan pelbagai lagi.


Bagi pakar bahasa berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini, ketokohannya dalam bidang berkenaan amat menyerlah dan sehingga ini tidak keterlaluan jika dikatakan klon Nik Safiah, belum ditemui.

Dalam usia menginjak 73 tahun beliau masih bersemangat membabitkan diri dalam bidang ilmuan kebahasaan dan berpersatuan demi berkongsi manfaat untuk dirinya, masyarakat dan negara. 

Peluang FAMILI bersua dengan tokoh bahasa dan masyarakat ini, ada banyak kisah yang boleh dijadikan inspirasi hidup bagi generasi muda yang menghargai masa dan usia kerana beliau adalah insan yang amat menghargai masa dan usia dimiliki.

Kini bertugas sebagai Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof Nik Safiah masih aktif menerajui dan menjalankan tugas sebagai Ketua 1 Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (PERTIWI). 

“Saya begitu meminati bidang bahasa, sehingga kini saya masih menyediakan kertas kerja berkenaan bahasa, menjalankan tugas pemantauan terhadap pelajar peringkat ijazah sarjana dan falsafah malah saya masih dijemput memberi ceramah dan bercakap mengenai bahasa.

“Saya masih meneruskan penyelidikan dan menyambung kerja dalam bidang bahasa kerana itu adalah keutamaan saya. Saya tidak pernah menolak memberi ceramah kerana pengendali mengetahui juga bahasa adalah bidang saya,” katanya yang juga pengasas Persatuan Linguistik Malaysia dan pernah menjadi presiden selama 18 tahun. 

Masa terluang beliau digunakan untuk kegiatan berpersatuan disebabkan itu juga minatnya yang mula didedahkan seawal usia belasan tahun apabila mengikut kakak, Nik Fatimah, menghadiri pertubuhan bersifat kewanitaan pada ketika itu, di Kota Bharu. 

“Kebetulannya tidak ada banyak persatuan untuk wanita dalam masyarakat, jadi kami agak aktif membuat kelas masakan dan memberi bimbingan kepada kumpulan wanita tempatan. Kalau adapun pertubuhan UMNO dan wanita Islam,” katanya ketika ditemui di UM, baru-baru ini.

Bahasa bidang keutamaan

Lantaran kerap mengikut kakak, timbul minat dalam diri beliau untuk membabitkan diri dalam persatuan dan kegiatan berkenaan berterusan sehingga beliau melanjutkan pelajaran ke universiti walaupun ketika itu sudah berkeluarga.

“Saya mengambil bidang bahasa ketika di universiti. Selesai membuat Ijazah Lanjutan, saya masih tidak boleh berehat kerana panggilan serta kehendak untuk belajar masih menebal dalam diri. Walaupun sudah mempunyai anak, saya masih ingin menuntut ilmu dan suami juga menyokong saya.

“Saya kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat falsafah ke luar negara selama tiga tahun. Tempohnya agak cepat berbanding penuntut lain kerana saya tidak tahan berjauhan dengan anak,” katanya.

Setiap hari beliau terkenang akan anak dan suami yang berada di tanah air dan kerinduan berkenaan disalurkan sebagai pemangkin untuk beliau lebih tekun mengejar ilmu dengan pegangan lebih cepat selesai lebih cepat boleh pulang ke luar negara.

Pulang ke tanah air, beliau kembali aktif dalam berpersatuan dan pada masa sama tidak pernah mengenepikan bidang ilmuan akademik kerana disiplin berkenaan menjadi minat beliau sejak dulu.

Dapat sokongan keluarga

Sebagai ibu berkerjaya dan berpersatuan, beliau mengakui pengurusan masa agak rumit, namun dengan sokongan padu suami dan anak yang memahami akan minat dan tugas, Nik Safiah dapat melakukan yang terbaik untuk diri dan keluarga.

“Saya tidak mengabaikan keluarga dan pada masa sama, masih dapat memenuhi tuntutan diri yang ingin memberi tumpuan kepada kerjaya.

“Dalam keadaan itu, saya memilih melakukan sesuatu yang saya minat dan saya gemari, jadi saya akan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Saya tidak akan melakukan perkara yang saya tidak suka atau tidak tahu,” katanya yang gemar meraikan tetamu walaupun tidak mahir memasak.

Baginya, kehidupan perlu ada keseimbangan untuk mendapatkan kesempurnaan dan pada ketika tertentu perlu ada sesuatu yang dilepaskan untuk memberi peluang kepada yang lain. Beliau merujuk kepada dirinya yang tidak mahir memasak, namun tetap berminat mengendalikan tetamu dalam jumlah yang ramai.

“Saya boleh mengendalikan tetamu dalam jumlah yang ramai walaupun tidak mahir memasak kecuali menu kegemaran keluarga. Jadi saya mengupah tukang masak untuk membantu saya. Begitu juga dengan berkebun, saya tidak serasi menanam pokok kerana pokok tidak akan hidup, jadi saya mendapatkan khidmat tukang kebun.

“Dengan adanya timbal balas begitu, perjalanan hidup lebih teratur. Saya memperuntukkan masa sepenuhnya untuk anak dan suami. Lazimnya saya akan mencadangkan tajuk buku yang sesuai untuk mereka baca,” katanya.

Prinsip hidup mudah, iaitu lakukan apa yang disukai kerana ia akan menjadikan kita lebih bersemangat untuk menghasilkan yang terbaik dan tidak melakukan tugas dengan bidang yang tidak mahir.

“Pada masa sama, jangan mengabaikan kesihatan. Kalau kita hidup sampai lanjut usia dan menyusahkan orang sekeliling dengan penyakit yang dihidapi pun tidak seronok juga. Jadi, lakukan juga pemeriksaan kesihatan serta meneruskan rutin hidup seperti biasa,” katanya.

Baginya, cabaran menjadi wanita tidak semudah yang disangka kerana wanita mempunyai lebih banyak cabaran. Selain memiliki kerjaya, wanita juga adalah suri rumah dan perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu kehidupan yang sentiasa menimbulkan cabaran semasa.

INFO: Nik Safiah Karim
Lahir: 17 Disember 1939
Asal: Kampong Banggol, Kota Bharu, Kelantan. 
Pendidikan: Ijazah Doktor Falsafah (Linguistik), Ohio University, Amerika Syarikat.
Jawatan: bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
: Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial sebanyak dua kali iaitu di antara 1982 
: Ketua Jabatan Pengajian Melayu, UM 
: Pengarah pertama Akademi Pengajian Melayu, UM 
: Pernah bertugas di Kementerian Pelajaran Singapura dan Kementerian Pelajaran Brunei Darussalam. 
Pengasas : PERTIWI dan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia 
Anugerah: Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah (2001)
: Diiktirafkan pihak Universiti dengan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2003). 
: Dikurniakan pingat Kesatria Mangku Negara (KMN)
: Dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN)
Sumbangan: Menulis buku dan makalah mengenai isu bahasa dan isu wanita.

No comments:

Post a Comment