Sunday 13 January 2013

Wanita ATM Malcoy 8 berlepas ke Lubnan




Misi pengaman anggota wanita ATM Malcoy 8 berlepas ke Lubnan esok.


KUALA LUMPUR: Sepuluh anggota wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berlepas esok sebagai kumpulan kedua Malaysian Company 8 (Malcoy 8) yang akan berkhidmat selama enam bulan di Lubnan dalam misi pengaman antarabangsa. 

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata kumpulan kedua itu akan berkhidmat di bawah Panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menggantikan kumpulan pertama anggota wanita yang bakal menamatkan misi pada 21 Januari ini. 
"Kumpulan itu terdiri daripada satu pegawai dan sembilan anggota lain-lain pangkat dengan pecahan iaitu lapan anggota wanita Tentera Darat Malaysia (TDM), satu anggota wanita daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan satu anggota wanita daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya kepada pemberita pada Majlis Penghantaran Kumpulan Wanita Kedua Malcoy 8, di sini, hari ini. 


Beliau berkata, kumpulan itu sudah diberikan latihan integrasi secara intensif selama tiga bulan bagi memberi pendedahan dan mempersiapkan diri mereka sebelum bertugas di bumi Lubnan. 

"Walaupun jumlah anggota wanita sangat kecil berbanding anggota lelaki iaitu tidak melebihi 10 orang dalam satu misi, namun pembabitan serta sumbangan mereka sangat besar khususnya apabila berhadapan dengan kes-kes yang membabitkan kaum wanita dan kanak-kanak," katanya. 

Sementara itu, Ketua Pergerakan Malaysian Company 8, Leftenan Nur Hidayah Zailan, 26, berkata mereka sudah diberikan latihan secukupnya dari segi fizikal dan mental sebelum dihantar bertugas dalam misi pengaman itu. 

"Kami berbangga dapat mewakili negara untuk misi yang murni, kami bersedia selepas mendapat latihan secukupnya dan kami berharap pembabitan kami boleh menyumbang sebanyak mungkin untuk mengharumkan nama negara," katanya. 



PANGLIMA Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (kanan) beramah mesra dengan sepuluh anggota kumpulan wanita kedua Malaysia Company 8 (MALCOY 8) ke Lubnan di Dewan Tanjung,Wisma Transit di Kuala Lumpur hari ini. Anggota MALCOY 8 wanita kedua ini akan melaksanakan misi selama 6 bulan dan dijangka tamat pada 16 Julai 2013. - Foto 


Credit: BERNAMA

No comments:

Post a Comment