Wednesday 16 January 2013

RISIKO LAMAN SOSIALTANPA PENGAWASAN


Ibu bapa perlu awasi risiko laman sosial terhadap kanak-kanak

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Ibu bapa disaran mengawasi penggunaan internet termasuk laman media sosial dalam kalangan kanak-kanak bagi menggelakkan golongan itu berdepan dengan pelbagai risiko termasuk gejala sosial.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi (gambar) berkata, berdasarkan maklum balas diterima SKMM dalam tinjauan awam baru-baru ini, sebanyak 65.5 peratus daripada responden berpendapat laman media sosial banyak memberikan risiko negatif terhadap kanak-kanak.

Malah jelasnya, tinjauan itu juga mendapati sebanyak 92.5 peratus bersetuju golongan ibu bapa seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengawasi anak-anak dalam penggunaan Internet dan laman media sosial berbanding guru, penyedia perkhidmatan internet (ISP) serta kerajaan.

"Kita perlu ingat, golongan kanak-kanak yang menggunakan internet serta laman media sosial kian bertambah. Dan, pengguna Facebook di negara ini pada tahun lalu sudah mencapai 13,625,480 orang.
"Kalau mereka (kanak-kanak) memanfaatkan internet atau laman media sosial dengan perkara-perkara berfaedah, itu tidak mengapa. Jika sebaliknya, itu yang perlu kita awasi dari awal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Undang-Undang dan Aktivisme Dalam Abad Ke-21 sempena Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi di sini hari ini.

Mohamed Sharil berkata, kadar penembusan jalur lebar di negara ini juga menunjukkan peningkatan besar iaitu daripada 11 peratus pada 2006 kepada 66 peratus tahun lalu manakala pengguna internet mencecah 17,500,000 orang.

Berhubung aduan-aduan orang ramai mengenai kesalahan dalam penggunaan e-mel, laman media sosial termasuk laman web, blog dan Internet sepanjang tahun lalu, katanya, kebanyakannya adalah berkaitan dengan serangan atau kandungan-kandungan berbentuk ancaman.

Aduan lain, jelasnya, berkaitan jenayah siber, lucah, penipuan dan salah tafsir perkhidmatan.
"Sepanjang tahun lalu, kita banyak menerima aduan berkaitan isi-isi kandungan berkaitan serangan atau penggunaan kata-kata kesat dalam e-mel iaitu sebanyak 41 aduan manakala 306 aduan mengenai penipuan di laman media sosial.

"Sebanyak 207 aduan diterima berkaitan isu kandungan berbentuk ancaman dalam laman web, blog dan Internet," tambahnya.

No comments:

Post a Comment