Google+ Followers

Wednesday, 9 January 2013

MENCARI BAHAGIA


Mencari Bahagia Di Hati

Bila kita memikirkan tentang bahagia, timbul diminda kita hidup yang penuh ceria, serta kesempurnaan, fikiran kita menjadi lapang dan tidak berserabut. dada tidak sempit dan pernafasan lancar, segala-galanya teratur dan aman. Saat kita bahagia, jiwa akan tenang, damai dan mendamaikan. 

Kita mampu membuat keputusan dengan matang dan bijaksana. Menguruskan segala urusan dengan sebaik-baiknya, menjaga dan mendidik keluarga dengan penuh jiwa dan keinsafan, menjadi insan terbaik untuk suami atau isteri tercinta. 

Perlu kita ketahui hakikat bahagia, tidak semestinya hanya apabila kita dapat apa yang kita mahu atau yang kita hajati sahaja, rasa bahagia ini mampu hadir walau kita dalam kemelut masalah yang bertimpa-timpa dan menjalani kehidupan yang teruk, jauh dari impian. Makna bahagia sebenarnya jauh lebih dalam dan besar dari semua itu.


Untuk mencipta bahagia terlebih dahulu kita harus menguruskan diri dengan menjauhi sifat mazmummah. Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang. Ini disebabkan sikapnya membuat orang menjauhi kerana tiada kelembutan dijiwanya.

2. Pendendam - tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam dengan secara apa sekali pun walau yang sekecil-kecil seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan. Didalam diri sentiasa penuh dengan sifat iri malah tidak suka melihat ada yang lebih darinya

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..- sedekah) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

5. Tamak - orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut walau berapa banyak yang diminum tetap tak abis juga lagi pun org tamak selalu rugi. 

Ingat, yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.


6. Tidak sabar - andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu perbanyakkanlah bersabar bila hadapi dugaan)

7. Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.pasal semua orang ada egonya sendiri.. cuma tinggi/rendah tahap keegoan tersebut

8. Riak - terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak.. takabbur dengan apa yang kita ada

9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berharta tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. bila mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah. Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati

Apabila kita dapat membersih hati kita dari sifat-sifat diatas maka kita sudah meletakkan diri ini dilandasan yang betul. Kita perlu istiqamah dalam membenteras sikap negatif ini supaya keimanan kita bertambah menjadikan kita taqwa kepada Allah.


Dalam mencari bahagia dihati selain membersihkan diri kita juga berhadapan dengan insan-insan lain yang kadang kala mengugat diri dalam memperoses meningkatkan keimanan. Jesteru untuk mendidik hati supaya berterusan mencipta kebaikan demi mencapai bahagia dihati, perlu kita tangani pada 4 perkara berikut supaya kita menjadi muslim yang sempurna malalui kehidupan seterusnya;

INGAT 1
Ingatlah kebaikan orang kepada kita. Setiap kebaikan yang orang lakukan kepada kita, ingat-ingatkan selalu. Ia menerbitkan rasa betapa bertuahnya diri sering menerima kebaikan itu. Namun dalam banyak-banyak pihak yang memberikan kebaikan, ingatlah kebaikan Pihak yang paling berjasa kepada kita iaitulah Allah SWT. 

Hitunglah betapa baiknya Allah kepada kita. Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya. Tidak mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya. Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini.

LUPA 1

Di samping mengingati kebaikan orang kepada kita, lupa-lupakanlahkebaikan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. 

Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti.“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” (Al-Qur’an Al-Kariim, Surah Al-Baqarah, ayat 264) Dan jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya. Segala-galanya terlalu halus, remeh dan kecil, jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya kepada diri ini.


INGAT 2

Setelah bercakap tentang kebaikan, ada seperkara yang perlu diingat selalu.Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada manusia. Kenang selalu kesilapan kita pada tutur kata dan tingkah laku, jangan mudah dipadam dan dibiarkan pergi tanpa ada pelajaran yang diambil darinya.

 Kenangkan ia, ingatkan selalu. Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati. Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah itulah yang paling melata, setiap detik dan masa. Istighfar selalu… kenang-kenangkan salah kita kepada Dia. 

Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya, dek satu ujian yang ditimpakan-Nya ke atas kita. Ingat-ingatlah kekurangan diri ini, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.

LUPA 2

Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupa-lupakanlah ia. Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya. Berdendam siang dan malam, memikul beban sepanjang masa. 

Orang yang dimarahi sudah pun menyambung hidup gembira hati, kita yang gagal memaafkan dia, terus terseksa mengheret dirinya ke dalam diri, ke sudut mana sekali pun kita pergi. Deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita. 

MENGAPA PERLU MEMBERI MAAF

Mengapa harus kita segera menjadi pemaaf. Kerana kitalah hamba yang mendambakan maaf dan ampun dari-Nya. Kita hamba yang tak punya apa, sering berlaku dosa dan kurang pula tunduk taatnya. 

Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita. Ya Allah, sebelum kulelapkan mata ini, ku maafkan isteriku atas kesilapan dan kekurangan dirinya. Ku maafkan setiap salah dan silap anak-anakku dan ahli keluargaku. Ku maafkan setiap manusia yang berkata buruk di depan dan di belakangku. Semata-mata kerana aku dambakan ampunan-Mu. Siapa aku untuk berdendam sesama hamba, kerana al-Muntaqim, hanyalah Engkau, Tuhan Yang Esa lagi Perkasa. Maafkan aku, hamba yang berdosa. Moga ada sinar bahagia, di hari muka.
Bila dapat kesemua fasa diatas, Insyaallah, kitalah dikalangan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat, segala permasaalah dapat kita lalui dengan tenang, maka jadilah kita dikalangan hamba yang menerima rahmah dan kasih sayangNya … Insya Allah

Credit: Perjalanan Tanpa Henti