Singapura: Seorang wanita Islam akan menggantikan bekas Speaker Parlimen yang terpaksa melepaskan jawatan itu kerana terbabit dalam skandal seks.
Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata, beliau akan mencalonkan Halimah Yaacob yang sekarang ini menjawat jawatan Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Masyarakat Belia dan Sukan untuk jawatan berkenaan pada sidang Parlimen Isnin depan.
Halimah, 58, akan menjadi Speaker wanita pertama republik itu. Beliau akan menggantikan Michael Palmer, 44, yang meletak jawatan bulan lalu selepas mengaku secara terbuka bahawa beliau menjalinkan hubungan sulit dengan seorang pekerja kebajikan.
Ia adalah skandal seks berprofil tinggi terbaru melanda Singapura.
Halimah yang perlu meletak jawatan dari Kabinet sebelum memegang jawatan baru itu, berpengalaman luas dalam pergerakan buruh, kerja kemasyarakatan dan pendidikan pra-sekolah.
“Dalam Kabinet, Halimah bercakap dengan suara praktikal dan lembut, membantu kami membentuk dasar yang berkesan dengan sentuhan kemanusiaan,” kata Lee dalam satu kenyataan, semalam.
Parti pembangkang mendesak Lee mengadakan pilihan raya kecil di kawasan Punggol Timur yang dikosongkan Palmer.
Parlimen Singapura yang mempunyai 87 kerusi dikuasai Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah republik berkenaan sejak 1959. Ketika ini, hanya enam anggota pembangkang menganggotai Dewan itu.
Credit: HM/AFP
No comments:
Post a Comment