Wednesday 6 March 2013

SINAR BARU BUAT IBRAHIM KILLINGTON


SEBELUM memeluk Islam, kehidupan saya hanya semata-mata untuk mencari kenikmatan dunia dengan meminum minuman keras dan mengambil pil mabuk seperti ganja dan ekstasy," kata Ibrahim Killington.

Seluruh hidupnya hanya untuk berfoya-foya dan setiap perbuatan yang dilakukan hanya tertumpu kepada 'syurga dunia' dengan bergaul bersama rakan-rakan yang mempunyai motif hidup yang sama.

Namun, segalanya berubah apabila Ibrahim menyaksikan video yang membongkar rahsia sebenar di sebalik peristiwa 11 September sehingga mengakibatkan salah satu bangunan lambang kemegahan utama di Amerika Syarikat musnah.

Insan yang tidak mempunyai tujuan hidup itu akhirnya terdetik untuk mencari sinar agama yang sebenar iaitu Islam setelah mengamati video tersebut bertajuk Konspirasi Tragedi WTC dan Bukti Dilakukan Orang Dalam Sendiri.

Beliau yang sewaktu kejadian menggemparkan dunia itu masih pada usia muda tidak menyedari apa yang berlaku, malah turut menyalahkan umat Islam yang didakwa melakukan perbuatan tersebut.

Sehinggakan Ibrahim bertekad untuk turut serta dengan tentera Amerika memerangi umat Islam yang dilaporkan didalangi oleh Osama Laden.

"Pada kejadian itu, saya berlari mendapatkan kawan-kawan setelah melihat laporan berita itu. Saya mengatakan kepada mereka bahawa pelancong asing telah melancarkan serangan terhadap Amerika.
"Saya melihat pelbagai maklumat yang mengajak untuk memerangi rakyat di Afghanistan.

"Dan saya mula memahami bahawa orang yang diperangi itu adalah umat Islam," katanya.

Antara tohmahan yang tidak putus-putus dilemparkan kepada umat Islam ialah pengganas dan melakukan kekejaman di seluruh dunia.

Tambahnya, beliau mula membenci Muslim, malah pernah bertekad untuk menyertai pasukan tentera AS untuk memerangi penduduk Afghanistan dengan tujuan untuk membela negara serta melindungi keluarga.


Temui hidayah

Namun, sewaktu Ibrahim mula ingin menyertai tentera, beliau telah mendengar satu segmen dalam radio yang mengupaskan mengenai teori konspirasi dan agenda yang berkaitan dengannya.

Juruhebah radio tersebut membicarakan mengenai perang melawan pengganas serta mengaitkan peristiwa yang berlaku dengan sejarah junjungan besar umat Islam iaitu Nabi Muhammad SAW.

"Ini tidak masuk akal mengapa umat Islam mempercayai dan sanggup mengikuti segala perbuatan terkutuk itu sebagaimana yang digambarkan pihak media terhadap Nabi Muhammad SAW.

"Saya mulai mempersoalkan apa pegangan umat Islam pada waktu itu dan kebetulan ia membuatkan saya lebih berminat untuk mengetahui hal-hal keagamaan," katanya.

Ibrahim mula mendapatkan maklumat mengenai agama dengan membuat perbandingan antara agama-agama yang terdapat di dunia termasuk kepercayaan kuno.

"Sehingga satu ketika saya terfikir untuk mendapatkan maklumat mengenai agama Islam menerusi Internet. Dan seingat saya salah satu muslim pertama yang saya lihat di internet itu ialah Baba Ali yang merupakan pembuat filem berkonsep keislaman dalam siaran Islam.

"Menerusi video yang ditayangkan tersebut, Baba Ali telah membetulkan pandangan stereotaip saya terhadap umat Islam. Mereka yang selama ini dikatakan pengganas sebenarnya bersikap pemaaf dan tenang," jelasnya.

Sehinggalah Ibrahim mula berminat dan terlintas untuk mempelajari Islam dengan lebih mendalam.

"Saya bertindak meminjam kitab al-Quran daripada perpustakaan di institusi pengajian yang saya duduki. 

Namun saya ketika itu terfikir dan bimbang agen rahsia Inggeris, agen MI5 akan menahan saya jika melihat saya memegang kitab yang dikatakan ikutan pengganas itu.

"Saya mula membaca al-Quran dengan terjemahannya. Sekali lagi isi kandungan al-Quran itu membuatkan saya tersentak sehingga membuatkan saya seperti tidak ingin berhenti membaca.

"Kebetulan ketika itu, saya membaca mengenai keadaan ngeri yang menimpa orang yang dimasukkan ke dalam api neraka dengan diberi minum air yang menggelegak sehingga membakar seluruh tengkorak.

"Ini membuatkan hati saya bergetar seakan-akan merasakan apa yang digambarkan di dalam al-Quran tersebut apabila mengenangkan dosa-dosa yang saya pernah lakukan," ujarnya.

Ayat al-Quran tersebut membuatkan saya mula bertekad untuk berubah dan mencari sinar Islam.

Ibrahim mula menjinakkan diri mendekati masjid dan menghabiskan masa untuk mempelajari ilmu agama Islam di masjid dan kelas agama.

Apabila mengetahui perubahan itu, ibu Ibrahim yang merupakan penganut agama lain membantah perbuatannya dan dengan keras mengarahkan Ibrahim kembali kepada agama asal mereka.

"Itu reaksi biasa kerana pemikiran negatif telah diterapkan dalam minda seluruh penduduk dunia terhadap Islam. Namun saya bersyukur, ibu mula dapat menerima perubahan saya dan merelakan pilihan itu," katanya lagi.

Ibrahim kini telah memeluk Islam setelah merasai nikmat sebenar kehidupan sebagaimana yang diperkatakan bahawa Islam itu memberi ketenangan dan agama yang indah.

Credit: 
 MOHD. SHAH CHE AHMAD

No comments:

Post a Comment