Thursday 7 March 2013

PENGGANAS DIDUKUNG KUASA ASING


‘Pengganas didukung kuasa asing’Anggota polis mengawal lalu lintas ketika membuat rondaan di Kampung Bul-Bul, Semporna, semalam. - Foto Mohd Radzi Bujang
Bangi: Bekas Panglima Markas Medan Tentera Darat, Datuk Seri Zaini Mohamad Said yakin kumpulan pengganas asing yang menceroboh Sabah didukung kuasa asing yang mempunyai niat menghuru-harakan negara bagi kepentingan tertentu. 

Beliau yang digelar Panglima Sauk susulan kejayaan menumpaskan kumpulan Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk, Perak pada 2000, berkata berdasarkan pengalamannya selama 26 tahun dalam pasukan gerak khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kumpulan penceroboh itu memang dilatih dan diberi perlindungan oleh kuasa luar. 


Zaini berkata, sejak kes pencerobohan di Lahad Datu pada awal Februari itu, terlalu banyak petunjuk yang menjurus kepada campur tangan pihak tertentu. 



Cukup kenal pengganas
“Fikirkan secara logik, kenapa berlaku sekarang ketika Malaysia bersiap menghadapi pilihan raya. Kenapa mereka tidak melakukannya sebelum ini atau selepas pilihan raya. Kedua, dari mana mereka dapat sumber cukup banyak untuk masuk ke Sabah.

“Saya cukup kenal mereka (kumpulan pengganas), tapi jangan tanya bagaimana saya kenal. Secara asasnya, mereka cukup miskin, hidup pun susah. Bagaimana nak tanggung kos sewa atau beli bot laju angkut lebih 200 orang ke perairan negara,” katanya.

Beliau yang menyampaikan ceramah umum ‘Campur Tangan Asing: Ancaman Keselamatan Negara’ di Bandar Baru Bangi, malam tadi, berkata usaha untuk menggulingkan kerajaan termasuk di Malaysia memang sudah lama berlaku dan ketika ini, gerakan itu banyak berselindung di sebalik gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibiaya dana asing. 


Bahkan, baru-baru ini, Zaini mengaku, beliau sendiri menerima risalah daripada NGO tertentu yang memberikan panduan bagaimana menjatuhkan kerajaan dan perkara itu tidak boleh dipandang remeh. 

“Saya sendiri dilatih di Amerika Syarikat pada 1970-an dalam bidang perang gerila, sabotaj dan letupan. Pergerakan mereka (kumpulan pengganas) memang menyamai corak latihan ala-Amerika, mahir taktik gerila dan susah nak lawan,” katanya.

No comments:

Post a Comment