Sunday 3 March 2013

Penduduk sekitar Lahad Datu panik, ketakutan



LAHAD DATU 1 Mac - Pertempuran antara pasukan keselamatan dengan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo di sini hari ini, menyebabkan penduduk sekitar di daerah ini panik dan berada dalam ketakutan.

Keadaan juga telah menyebabkan bandar Lahad Datu yang terletak kira-kira 130 kilometer dari tempat kejadian sesak teruk dengan kereta bermula pukul 11 pagi apabila orang ramai mahu keluar dari bandar berkenaan.

Perjalanan sejauh kira-kira empat kilometer yang biasanya memakan masa tidak sampai lima minit, bertukar sehingga kira-kira dua jam untuk sampai ke destinasi.

 

Keadaan juga bertambah panik apabila pihak berkuasa membunyikan siren dan mengarahkan orang ramai pulang ke rumah.


 
Bandar Lahad Datu juga sunyi apabila semua premis termasuk kedai dan bank ditutup.

Dalam pada itu, seorang pemandu teksi, Jamaludin Ahmad, 28, berkata, dia amat terperanjat apabila mendengar berita berkenaan dan bergegas pulang ke rumah.

 

"Saya berasa panik dan selama 28 tahun hidup tidak pernah berasa seperti ini. Apa yang saya fikirkan pada masa ini hanyalah anak-anak dan isteri saya," katanya.

 

Sementara itu, keadaan di Lapangan Terbang Lahad Datu juga sesak apabila ramai penumpang bergegas untuk mengambil penerbangan keluar dari Lahad Datu.

 

Seorang pegawai lapangan terbang memberitahu, keadaan menjadi kecoh apabila sebuah pesawat penumpang memaklumkan akan melakukan lencongan balik selepas menerima maklumat mengenai perintah berkurung.

 

"Bagaimanapun selepas mendapat maklum balas keadaan di Lahad Datu yang masih terkawal, pesawat berkenaan akhirnya tidak jadi membuat lencongan dan mendarat," katanya.

 

Dalam pada itu, tinjauan di sekitar Hospital Lahad Datu mendapati hospital itu yang dipenuhi orang ramai dikawal ketat oleh pasukan polis terutama di wad kecemasan yang menempatkan anggota pasukan keselamatan yang tercedera dan terkorban.

 

Kira-kira pukul 1.40 petang sebuah helikopter mendarat di hospital membawa dua anggota keselamatan yang cedera dan beberapa jam selepas itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dilihat datang melawat mangsa yang cedera di hospital berkenaan.

 

No comments:

Post a Comment