Sunday 3 March 2013

PENCEROBOH MAHIR KOMBAT DAN TAKTIK GERILA


Lahad Datu: Kumpulan bersenjata yang berkubu di Kampung Tanduo, di sini, mempunyai kepakaran dalam peperangan kombat dan taktik gerila selain diawasi pasukan penembak tepat.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, berdasarkan risikan pihaknya, kumpulan bersenjata terbabit sangat berpengalaman dalam peperangan.

“Namun, semua mereka berada dalam kepungan pihak berkuasa dan sukar meloloskan diri.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merancang strategi mengawal situasi ini.

“Kami menempatkan beberapa pasukan di lokasi tertentu dan orang ramai tidak perlu bimbang,” katanya ketika sidang media, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid.
Zulkifeli berkata, tentera menggerakkan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengawal perairan negara.

“Tentera laut menyekat semua laluan di laut termasuk hasil bantuan daripada agensi penguat kuasa lain.
“Tentera menggunakan semua kelengkapan yang ada termasuk kapal, bot dan pesawat untuk memantau sebarang pergerakan di laut,” katanya.

Beliau berkata, beberapa batalion juga dikerah ke negeri ini untuk membantu mengawal situasi.

“Seperti yang kita sedia maklum, jarak antara Semporna dengan sempadan negara jiran sekitar 26 kilometer (km) yang hanya mengambil masa 35 minit dengan menaiki bot.

“Malah, jarak dari kawasan ini (Tanjung Labian) ke sempadan negara cuma sejauh 15 km,” katanya.

Menurut Zulkifeli, semua mereka dipercayai memasuki negara dengan menggunakan bot kecil.

“Tetapi saya mahu menegaskan keadaan terkawal dan orang ramai tidak perlu berasa bimbang,” katanya.

Sementara itu, 352 anggota termasuk pegawai dan lain-lain pangkat dari Rejimen Ke 21 Askar Melayu Diraja (21RAMD) yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, di sini, diterbangkan terus dari Kota Bharu ke Tawau, Sabah bagi membantu menangani keadaan di Lahad Datu, Sabah, semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Markas Lapan Briged Infantri (8 Briged), berkata semua anggota yang digelar Harimau Pantai Timur itu diterbangkan melalui dua peringkat iaitu pada jam 1 tengah hari dan 6 petang melalui Syarikat Penerbangan Air Asia di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini.

Menurutnya, batalion terbabit yang di bawah naungan 8 Briged antara batalion yang diterbangkan secara penerbangan terus ke Tawau.

No comments:

Post a Comment