Saturday 2 March 2013

Pemimpin, pengikut ada tanggungjawab tersendiri


Abdullah bin Amr melaporkan: "Kami mengikut Rasulullah dalam satu perjalanan. Kemudian, kami turun berhenti di sebuah tempat rehat. Antara kami, ada yang mendirikan khemah, berlatih memanah dan menjaga haiwan ternakannya. 
Kemudian, juruseru Rasulullah mengumumkan: Mari sembahyang secara berkumpulan! Lalu, kami semua berkumpul di tempat Rasulullah. 
Beliau kemudian berkata: Percayalah semua nabi sebelum saya berhak memberitahu pengikutnya seluruh kebaikan yang membawa manfaat kepada mereka. Mereka juga memberi amaran kepada pengikutnya berkenaan seluruh keburukan yang membahayakan mereka. Percayalah, keselamatan umat Muhammad ini diletakkan pada bahagian awal, manakala bencana berlaku pada bahagian akhir. Akan beberapa isu yang saudara menentangnya kerana bertentangan dengan hukum Allah. Selain daripada itu, timbul beberapa fitnah. Sebahagian daripada fitnah itu menyebabkan fitnah lain bagaikan menjadi ringan. 


Terdapat pula fitnah, lalu berkatalah orang yang beriman: “Inilah yang menyebabkan kita rosak.” Akhirnya fitnah itu lenyap. Juga timbul fitnah lain, lalu berkatalah orang yang beriman: “Ini! Inilah fitnah paling besar.” 

Sesiapa yang suka dijauhkan daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, hendaklah dia yakin kepada Allah dan hari akhirat ketika berdepan saat kematian. Dia juga bersikap kepada orang lain seperti mana dia suka orang lain bersikap kepadanya. 

Taat pemimpin 

Sesiapa yang bersumpah setia kepada pemimpin dengan berjabat tangan dan sepenuh hati, dia mesti taat kepada pemimpin itu dengan sedaya upayanya. Sekiranya terdapat mana-mana pihak cuba merampas kekuasaan pemimpin itu, hendaklah dia memerangi penentang itu.” (Direkodkan oleh Muslim).

Abu Hunaidah atau nama sebenarnya Wail bin Hujr melaporkan: “Pada suatu masa, Salamah bin Yazid al-Ju’fi bertanya kepada Nabi Muhammad; “Wahai utusan Allah, bagaimanakah pendapat tuan sekiranya kami diperintah oleh beberapa orang pemimpin yang selalu memaksa kami memberikan hak mereka tetapi mereka tidak memberikan apa yang menjadi hak kami? 


Nabi Muhammad memalingkan mukanya. Kemudian Salamah bin Yazid mengulangi pertanyaannya. Nabi Muhammad menjawab: Saudara sekalian, dengarlah arahan pemimpin itu dan taatlah. Mereka bertanggungjawab atas apa yang diamanahkan kepada mereka. Saudara bertanggungjawab atas apa yang diamanahkan kepada saudara.” (Direkodkan oleh Muslim) 

Sumber: Riyadus Solihin Taman Orang Soleh

No comments:

Post a Comment