Friday 8 March 2013

MEMERANGI PENCEROBOH SATU CABANG JIHAD


Sabah diceroboh



Umum menyedari penjajah sengaja meletakkan sempadan kepada negara yang dijajah supaya jajahan mereka mudah dikawal selia. Begitu juga mudahnya mereka mencetuskan permusuhan dan peperangan disebabkan persempadanan itu. 

Islam tidak pernah meletakkan sempadan terhadap sesama umatnya kerana mereka dianggap satu umat yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Kehidupan umat Islam adalah berpaksikan perpaduan dan kemakmuran. 


Firman Allah SWT: “Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu dan akulah Tuhanmu yang berhak disembah.” (Surah Mukminun, ayat 52) 

Begitu juga kehidupan aman hasil kesatuan yang dianjurkan Allah SWT. Keamanan dan kesejahteraan adalah impian setiap insan yang dahagakan kemajuan dan kegemilangan. Keamanan dapat melonjakkan kemakmuran dan menjana pembangunan sesebuah negara. 



Mereka yang memiliki jiwa dan fikiran yang waras, tidak sesekali merestui peperangan kerana peperangan mengakibatkan kerosakan serta kehancuran. Namun, ada saat dan ketikanya kedamaian ini akan tercalar jika berlaku pencerobohan terhadap sesebuah negara. Ketika itulah semua umat Islam terpanggil untuk berjuang. 

Firman Allah SWT: “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci. Tetapi, boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal mungkin ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jugalah yang mengetahui segala-galanya, sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 216) 

Utamakan perintah Allah

 
Menjelaskan bahawa kehendak dan perintah Allah SWT mestilah diutamakan berbanding kehendak diri sendiri dan jiwa walaupun ia berada di luar norma pemikiran kita atau batasan munasabah. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Keluarlah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dengan adanya kemudahan) ataupun dengan keadaan berat (penuh kesukaran) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa raga kamu.” (Surah at-Taubah, ayat 41) 
Photo: Disebalik Tabir Lahad Datu

Inilah perintah daripada Allah SWT tanpa mengira sama ada kita bersedia atau tidak. Bersenjata lengkap bukanlah syarat utama untuk keluar berjuang jika pihak musuh sudah menceroboh sempadan negara. Perintah akan tetap ditunaikan kerana janji Allah SWT di akhirat lebih kekal dan menjadi keutamaan. 

Namun, peperangan hendaklah dielakkan jika termampu kerana agama Islam adalah agama yang menekankan aspek keamanan dan kesejahteraan. Justeru, Allah SWT menyarankan kita menerima perjanjian damai jika diminta pihak musuh dan berserah kepada-Nya. 

Firman Allah SWT: “Jika mereka meminta perdamaian, maka terimalah dan bertawakal kepada Allah.” (Surah al-Anfal, ayat 60) 

Jihad memerangi penceroboh salah satu cabang jihad yang luas di samping berjihad dengan harta dan hawa nafsu. Ulama sependapat mewajibkan kita berjihad dan berperang jika negara diceroboh sehinggalah berjaya atau mendapat mati syahid dengan ganjaran besar di sisi Allah SWT. 

Mati syahid tidak sia-sia 
Firman Allah SWT: “Jangan kamu mengira mereka yang mati syahid sebagai mati yang sia-sia. Bahkan mereka sentiasa hidup di sisi Allah SWT dan mendapat rezeki daripada-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 154) 

Al-Quran sudah menggariskan panduan dalam mengharungi sesebuah peperangan melalui pelajaran daripada kisah peperangan Nabi Daud menentang tentera Talut. 

Firman Allah SWT: “Daud berkata bahawa kekuasaan yang dianugerahkan kepada Talut adalah disebabkan penampilan (fizikal yang hebat) dan baik serta keilmuan yang tinggi.” (Surah al-Baqarah, ayat 247) 

Penampilan serta kebijaksanaan tinggi adalah syarat untuk berjaya dalam peperangan di samping persediaan lain. Antaranya, persediaan dari segi teknologi dan taktikal di mana ia mestilah digerakkan bagi merealisasikan operasi yang akan dijalankan. 

Latihan berterusan boleh menjamin kejayaan di samping berwaspada terhadap musuh dengan menggerakkan perisikan dengan lebih berkesan. Peperangan psikologi juga berperanan bagi memecahkan benteng kesatuan musuh serta melemahkan mereka. 

Kewujudan pasukan pemantau boleh menambahkan lagi koleksi kejayaan kerana kekuatan dan kelemahan musuh mestilah dicerna terlebih dulu. Benarlah kata-kata ahli ilmu: “Kebenaran tanpa disiplin akan tewas di tangan kebatilan yang tersusun rapi.” 

Ilmu dan etika peperangan mestilah selaras supaya tiada pihak yang teraniaya. Malah binatang dan tumbuh-tumbuhan juga dijaga serta dihormati di waktu peperangan. Rumah ibadat dan tempat suci agama lain tidak boleh dimusnahkan. 

Penggunaan senjata berat juga tidak dibenarkan kecuali keadaan mendesak atau pihak musuh juga menggunakan senjata sama. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Tiada amalan fardu yang lebih baik daripada jihad, manakala perang di laut lebih baik daripada perang di darat.” 

Difahamkan bahawa setiap situasi peperangan mempunyai tekniknya tersendiri dan perlu dipelajari. Jika ditakdirkan terdapat orang awam dan kanak-kanak yang terbunuh semasa peperangan, maka urusan akan diserahkan kepada Allah SWT kerana Dia akan memberi balasan yang adil. 

Baginda SAW bersabda: “Rasulullah SAW ditanya mengenai kaum wanita dan anak kecil musyrikin yang diserang pada malam hari lalu sebahagian kaum serta anak-anak keturunan mereka terbunuh. Baginda SAW menjawab: Kaum wanita dan anak-anak itu adalah termasuk sebahagian daripada mereka (urusan Allah SWT).” (Riwayat Muslim).


Credit: Zamanuddin Jusoh NSTP

No comments:

Post a Comment