LAHAD DATU 1 Mac - Selepas hampir tiga minggu kerajaan membuka pintu rundingan kepada kumpulan bersenjata yang mendakwa Tentera Diraja Kesultanan Sulu, penceroboh itu hari ini memulakan serangan dengan menembak mati dua anggota komando polis dari pasukan VAT 69 dan menyebabkan tiga lagi cedera.
Dua anggota komando VAT 69 yang terkorban ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud manakala mangsa yang cedera pula ialah Koperal Mohd. Tarmizi Hashim (tangan dan kaki), Koperal Azman Ampong (paha dan punggung) serta Konstabel Mohamad Qaiyum'aiqal Zolkifli (bahu kanan dan kedua-dua belah kaki).
Pertempuran meletus pada pukul 10 pagi apabila pasukan keselamatan negara yang bersiap melancarkan operasi menangkap anggota kumpulan penceroboh diserang ketika berada berdekatan sebuah surau lama di Kampung Tanduo menyebabkan mereka terpaksa melakukan serangan balas untuk mempertahankan diri.
Kejadian berbalas tembakan itu berlaku selama setengah jam dan membunuh 12 anggota kumpulan Tentera Diraja Kesultanan Sulu, seorang cedera dan 10 lagi menyerah diri.
Walaubagaimanapun, baki anggota penceroboh lain berpecah sebelum melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit berdekatan.
Utusan Malaysia difahamkan, selain ditembak pada jarak dekat, salah seorang anggota VAT 69 yang sedang mendapat rawatan lanjut di Hospital Lahad Datu dan Hospital Sandakan turut ditikam menggunakan parang oleh anggota kumpulan penceroboh ketika berlaku pergelutan berhampiran surau tersebut.
Dalam pada itu, sehingga pukul 11.45 malam ini, dipercayai terdapat sekumpulan lagi anggota kumpulan penceroboh tersebut bertindak menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Namun, tiada sebarang pengesahan dibuat pihak keselamatan negara mengenai perkembangan terbaharu itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dalam sidang akhbar tergempar di Felda Sahabat, dekat sini berkata, pasukan penceroboh terlebih dahulu melepaskan tembakan setelah terserempak dengan anggota pasukan keselamatan negara yang memasuki kawasan tersebut bagi memperketatkan kepungan.
Katanya, sebaik pertempuran berhenti pasukan keselamatan diketuai VAT 69 dan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas dua laras raifal M-16, dua laras raifal semi auto, dua pucuk pistol, peluru pelancar roket (dipercayai dari jenis RPG), kelopak peluru serta beberapa beg pakaian milik anggota penceroboh.
"Apabila mereka terlebih dahulu melepaskan tembakan, pasukan keselamatan negara terpaksa membalas balik untuk mempertahankan diri. Pertempuran tersebut yang mengambil masa antara 20 hingga 30 minit menyebabkan dua daripada anggota keselamatan negara meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera.
"Kesemua anggota keselamatan kita yang cedera dan terbunuh akibat terkena tembakan tersebut berjaya dikeluarkan, tetapi mayat 12 anggota kumpulan penceroboh yang terbunuh masih berada di kawasan Kampung Tanduo," katanya sambil menegaskan pertempuran itu bukan bermakna operasi tersebut telah berakhir.
Mengulas lanjut, Hamza berkata, meskipun keadaan selepas pertempuran terkawal, pihaknya kini bersiap sedia melaksanakan operasi seterusnya bagi memastikan kumpulan penceroboh yang masih berdegil menyerah kalah kepada pihak keselamatan negara.
"Kepungan diteruskan dan kumpulan itu kini dalam keadaan genting kerana kita telah menguasai kawasan-kawasan utama manakala mereka hanya berada dalam kedudukan kecil. Kita tidak mempunyai pilihan lain kerana telah memberi banyak peluang untuk menyerah diri, tetapi mereka tetap berkeras," katanya.
Credit: MOHD. ASRON MUSTAPHA, TARMIZI ABDUL RAHIM dan ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
No comments:
Post a Comment