Wednesday 6 March 2013

Jangan ragu sambut Chap Goh Mei



Jangan ragu sambut Chap Goh Mei
Abu Bakar (dua kiri) menyampaikan wang tunai RM50 kepada seorang warga emas sempena sambutan Chap Goh Mei anjuran Persatuan Mualaf Lipis, kelmarin.
KUALA LIPIS - Mualaf Tionghua dan Cina Muslim tidak harus berasa ragu-ragu untuk menyambut Tahun Baru Cina dan malam Chap Goh Mei kerana acara itu wajar difokuskan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Kadi Daerah Lipis, Abu Bakar Ismail berkata, bangsa Melayu juga boleh menghadiri acara tersebut dengan tujuan meningkatkan perpaduan yang menjadi elemen penting dalam berdakwah.
“Mualaf atau saudara baru boleh merayakan bersama keluarga masing-masing yang masih belum memeluk Islam dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Cina Muslim, di sini, agar dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan bangsa lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang dan hamper berupa barangan makanan bernilai RM2,500 kepada 30 mualaf berbangsa Tionghua dari Persatuan Cina Muslim Lipis sempena majlis sambutan Chap Goh Mei, di sini, kelmarin.
Majlis turut dihadiri Penolong Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Dr Ann Wann Seng dan Setiausaha Persatuan Cina Muslim Lipis, Mohd Fauzi Fong.
Pada majlis itu, ahli keluarga mualaf yang belum memeluk Islam turut diberi bantuan sebagai tanda prihatin.

“Kita menghargai sokongan ahli keluarga (belum Islam) kepada anak mereka yang sudah memeluk Islam dengan turut mengundang mereka ke majlis ini untuk diberi bantuan,” katanya.

Abu Bakar berkata, sumbangan itu dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi mualaf berkenaan selain menunjukkan peranan yang dimainkan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dalam meneruskan usaha dakwah kepada saudara baru termasuk Orang Asli.

Katanya, Jaip dan Paid tidak pernah meminggirkan golongan asnaf daripada kalangan mualaf di daerah ini termasuk masyarakat Tionghua serta Orang Asli dalam membela nasib mereka terutama ketika menjelang hari perayaan.
"Penyaluran bantuan kepada golongan mualaf yang kurang berkemampuan dipergiatkan dari masa ke masa selari dengan syiar Islam.

“Setiap tahun kita memberi bantuan kepada golongan asnaf mualaf terutama ketika menjelang musim perayaan,” katanya
.

No comments:

Post a Comment